Khamis, 7 April 2016

Laporan 1MDB: Pinjam RM550 juta, terbit nota US$3 bilion untuk biaya hutang

Rizal Zulkapli, Astro Awani
 
Laporan 1MDB: Pinjam RM550 juta, terbit nota US$3 bilion untuk biaya hutang
Hutang 1MDB pada tahap RM5 bilion pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion, berbanding aset sebanyak RM51 bilion, pada tahun kewangan berakhir 31.03.2014-Foto AFP
 
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) melaporkan 1MDB tidak menggunakan sejumlah wang yang dipinjam dan daripada terbitan hutang untuk tujuan yang dimaksudkan daripada 2 proses kewangan tersebut.

Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang diserahkan kepada Parlimen pada Khamis, memperincikan penggunaan pinjaman berjangka daripada Ambank (M) Berhad (Ambank) berjumlah RM550 juta.

Menurut laporan berkenaan, Resolusi Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 3 Disember 2013 telah memberi persetujuan kepada 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) untuk menerima kemudahan pinjaman berjangka berjumlah RM550 juta dengan kadar faedah tahunan 5.09%.

Tambahnya, pinjaman adalah bagi membiayai sebahagian kos pembinaan kemudahan penggantian dari Pangkalan Udara Sungai Besi (PUKL) ke tapak penempatan semula, serta sebahagian perbelanjaan awal dan berkaitan kos infrastruktur projek Tun Razak Exchange (TRX).

Penyata bank 1MDB RE bagi bulan Januari 2014 menunjukkan ia menerima RM550 juta dalam akaunnya pada 7 Januari 2014.

Pada tarikh yang sama, 1MDB RE telah memindahkan kesemua jumlah berkenaan kepada akaun 1MDB.

Dalam laporan tersebut, Jabatan Audit Negara mengandaikan pinjaman berkenaan telah digunakan untuk melunaskan satu lagi pinjaman berjumlah RM670 juta ringgit.

Laporan tersebut menyatakan RM550 juta itu telah diberikan kepada 1MDB “…sebagai pendahuluan dan bukan digunakan untuk membiayai projek penempatan semula Bandar Malaysia (iaitu tujuan sebenar pinjaman diambil).”

Penggunaan peruntukan PUKL

Laporan PAC turut menyebut, kerajaan bersetuju untuk menanggung sebahagian kos pembangunan bagi penempatan semula PUKL berjumlah RM1.117 bilion manakala 1MDB akan menanggung sejumlah RM1.60 bilion.

Ini mengikut Perjanjian Penempatan Semula Pangkalan Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur bertarikh 15 Jun 2011.

Sehingga bulan Mei 2015, Kerajaan telah menyalurkan sepenuhnya peruntukan berjumlah RM1.117 bilion.

Bagaimanapun, sejumlah RM288 juta telah didahulukan kepada 1MDB dan tidak digunakan sepenuhnya bagi membiayai kos penempatan semula PUKL seperti tujuan sebenar peruntukan tersebut diberikan oleh Kerajaan.

Terbitan Nota US$3 bilion

Laporan tersebut turut menyebut, 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Global Investments Ltd. (1MDB GIL) telah menerbitkan Nota US$3 bilion pada 19 Mac 2013 dengan surat sokongan Kementerian Kewangan.

Nota ini diterbitkan bagi tujuan modal permulaan untuk pelaburan dalam Abu Dhabi Malaysia Investment Company Ltd. (ADMIC).

ADMIC adalah syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS, serta untuk tujuan korporat am.
Penyata kewangan 1MDB GIL bagi tahun 2014 menyatakan ADMIC adalah syarikat usaha sama yang ditubuhkan untuk membangunkan projek TRX.

Terbitan Nota US$3 bilion ini tidak disalurkan langsung untuk pembangunan projek TRX, sebaliknya digunakan bagi perbelanjaan berikut:

  • Pindahan kepada 1MDB: US$1.0 bilion (lunaskan Syndicated Term Loan RM2.5 bilion, Term Loan US$300 juta dan dan tambahan Syndicated Term Loan RM2.5 juta)
  • Pindahan kepada 1MDB Energy Ltd.: US$24.85 juta
  • Pindahan kepada Brazen Sky Ltd.: US$1.50 juta
  • Pelaburan di luar Negara: US$1.58 bilion
  • Derma kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia:  US$35.00 juta
Jumlah: US$2.65 bilion

PAC dalam bahagian 'Rumusan dan Cadangan' mendapati bahawa struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan Kumpulan 1MDB adalah kurang memuaskan dan syarikat bergantung kepada pembiayaan semula (refinance) untuk pembayaran balik hutang matang dan juga mengambil hutang baru untuk, antara lain, pembayaran faedah hutang sebelumnya.

Hutang 1MDB pada tahap RM5 bilion pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion, berbanding aset sebanyak RM51 bilion, pada tahun kewangan berakhir 31.03.2014. 
 
 

Tiada ulasan: