Ahad, 17 April 2016

'Lain-lain kaum' dalam dokumen, borang rasmi k'jaan dimansuh

MALAYSIAKINI




Penggunaan istilah 'lain-lain kaum' bagi merujuk kaum Bumiputera Sarawak dalam semua dokumen dan borang rasmi kerajaan dimansuhkan, berkuat kuasa serta merta, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri berkata perkara itu diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini.

Beliau berkata arahan turut dikeluarkan kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri untuk melaksanakan perkara itu.

"Ini adalah sesuatu yang diminta oleh rakyat Sarawak melalui kerajaan negeri dan yang turut diperjuangkan oleh menteri-menteri Sarawak dalam kabinet kerajaan Persekutuan," katanya.

Zahid berkata demikian semasa merasmikan program Sejiwa Senada kesembilan di Dewan Suarah di KotaSamarahan hari ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem turut hadir pada program itu.

Pemansuhan istilah 'lain-lain kaum' bagi mewakili etnik di Sarawak dalam dokumen dan borang rasmi kerajaan adalah antara 53 prinsip dan tindakan yang dilaksanakan Adenan sejak memegang jawatan ketua menteri Sarawak pada Februari 2014.

Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata beliau melihat prinsip dan tindakan itu bukan sekadar janji kosong Adenan tetapi sebuah akujanji dan manifesto yang telah dilaksanakan sebelum pilihan raya negeri lagi.

"Sokongan dan dukungan harus terus diberikan kepada beliau (Adenan)," katanya.

Beliau percaya hubungan baik kerajaan negeri dan anggota Parlimen Barisan Nasional daripada Sarawak dengan kerajaan Persekutuan akan dapat membantu membawa lebih banyak pembangunan di Bumi Kenyalang ini.

"Sarawak cukup dekat di hati kita (kerajaan Persekutuan). Ini juga adalah satu sejarah, menteri-menteri (persekutuan) paling ramai dari Sarawak di bawah kepimpinan perdana menteri ketika ini.

"Saya ingin ucap tahniah kepada pemimpin-pemimpin Sarawak yang telah berjaya membawa masalah dan isu rakyat Sarawak kepada kepimpinan negara," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: