Selasa, 19 April 2016

Kurang sebulan Mesyuarat Raja-raja, Deklarasi Rakyat hanya dapat kumpul suku dari sejuta tandatangan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Gerakan Selamatkan Malaysia yang didokong bersama oleh Tun Mahathir Mohamad masih jauh tersasar daripada mengumpul sejuta tandatangan rakyat Malaysia dalam cubaan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
 
Ketua Sekretariatnya, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata sehingga ke hari ini gerakan itu hanya memperolehi kira kira 250,000 atau satu per empat daripada jumlah yang disasarkan.
 
Pihaknya sebelum ini merancang untuk menyampaikan petisyen Deklarasi Rakyat dengan sejuta tandatangan itu kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya 11 Mei depan.
 
"Kita akui ada halangan dan sekatan terhadap apa yang kita lakukan.
 
"Pada masa sekarang kita sudah mencapai satu per empat daripada sejuta tandatangan yang kita mahu. 
 
"Kita berharap dan merancang mencapai matlamat itu paling lewat sehingga 9 Mei nanti. Dan akan dilanjutkan jika sehingga 11 Mei itu (jika) masih tak dapat sejuta tandatangan," katanya pagi tadi.
 
Sebelum ini Mahathir mengakui agenda menyingkirkan Najib di luar Parlimen dan pilihanraya umum bercanggah dengan  perlembagaan. 
 
Sedar kekangan itu, Mahathir cuba mengheret Majlis Raja-raja untuk memberi tekanan kepada Najib.
 
Mahathir mengambil pendekatan itu selepas anaknya Datuk Mukriz disingkir sebagai menteri besar Kedah.
 
Selain pasangan anak-beranak itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung selaku timbalan presiden Umno dan Datuk Shafie Apdal yang digugurkan daripada Kabinet turut menyokong gerakan anti Najib itu. 
 
Bagaimanapun siri kempen mereka untuk meraih sokongan mendapat sambutan hambar dengan kehadiran di sesetengah tempat hanya kira-kira 100 orang.
 
 

Tiada ulasan: