Khamis, 14 April 2016

Khairy menteri super ego, tidak mengaku silap – Syed Rosli

 
Syed Rosli minta Khairy mengaku kesilapannya berikutan wang yang 'ciput' diberikan kepada pemenang program JCM


Syed Rosli


PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merupakan seorang menteri yang ego kerana sukar untuk mengaku kesilapannya.

Demikian kata Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail mengkritik alasan Khairy berhubung wang yang ‘ciput’ yang diberikan kepada pemenang program Junior Cycling Malaysia (JCM), anjuran Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) 9 April lalu adalah untuk meniup semangat peserta.

“Ya, kalau bukan ukuran duit RM30, 20,10 dan botol air kononnya akan spoil’kan mereka, apa salahnya bagi piala atau pun sijil untuk perhargaan dan kenangan mereka demi meniup semangat mereka untuk terus berjuang.

“Akuilah kesilapan dan ‘life goes on’ wahai Menteri super ego Khairy Jamaluddin,” katanya di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Khairy menjelaskan program tersebut tidak seharusnya dijadikan isu, kerana nilai hadiah tunai kemenangan telah dimaklumkan kepada semua peserta oleh pihak penganjur sejak awal lagi.

Malah Khairy membidas, keluarga peserta sendiri tidak mempersoalkan nilai hadiah yang akan diterima sebaliknya kepuasan untuk anak-anak mereka itu lebih penting.

Program tersebut, telah menjadi bahan jenaka di laman sosial, apabila pemenang bagi kategori 15 tahun menerima pingat dan wang tunai RM50, naib juara RM40 manakala tempat ketiga, RM30 berserta pingat.

Sementara untuk kategori 13 tahun pula, juara menerima pingat dan wang tunai RM40, tempat kedua RM30 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing mendapat RM20 berserta pingat.

Manakala bagi kategori bawah 9 tahun, juara menerima pingat dan wang tunai RM30, tempat kedua RM20 dan tempat ketiga mendapat RM10 berserta pingat.

Tiada ulasan: