MSO
Berbagai-bagai khabar angin politik bertiup dan ditiupkan
sehingga mengusik minda orang politik. Orang politik yang tidak ada
pengetahuan dan cetek penilaian mengenai perang saraf politik akan mudah
tersentuh dengan khabar-khabar angin politik itu. Sebaliknya bagi
mereka yang sudah masak dengan sepak terajang politik akan membiarkan
sahaja khabar angin itu berlalu atau mendengar pomimeknya dari jauh.
Ia dianggap tidak lebih daripada gimik murahan politik.
Ada macam-macam khabar angin yang tersebar dan diperkatakan saat ini.
Paling baharu ialah kononnya bekas ketua Angkatan Muda PKR, (lupa nama)
akan membuat come back untuk menyertai semula PKR. Satu
perbincangan antara bekas ketua yang juga pelopor sumpah pemuda itu,
kemudian dilanggarinya, telah diadakan dengan presiden PKR Dr Wan Azizah
Wan Ismail.
Mungkin bagi mereka yang tidak pernah membaca sejarah hidup bekas
pegawai Anwar Ibrahim itu akan mempercayainya dan respons kepada khabar
berkenaan. Tetapi bagi orang yang menuruti jejak politik pemaling tadah
itu hanya akan tersenyum. Apa lagi bagi mereka yang pernah mendengar
ceramahnya di pinggir sungai Sarawak tahun 2011, akan menerima khabar
angin politik itu sebagai cerita lucu yang tidak ada plot sahaja.
Apa yang pernah dituturkan oleh bekas ketua pemuda terhadap Dr Wan
Azizah lima tahun lalu boleh menyebabkan Azizah akan "berdendam"
dengannya lebih teruk dariapda dendam dan kebenciannya kepada Dr
Mahathir Mohamad kerana memusanahkan kerjaya politik lakinya.
Selain dari itu ada pula khabar angin politik di Kelantan, kononnya 10
orang Adun akan meninggalkan Pas sekiranya bekas Naib Presiden Pas Husam
Musa yang peta politiknya kini tidak menentu dipecat daripada parti
itu.
Itu juga khabar angin politik yang tidak ada plot yang jelas. Saya
menganggap mereka yang menjual cerita itu sebagai orang yang ingin
berniaga tetapi tidak cukup modal. Maka modal dicari untuk membuka kedai
bagi menarik pelanggan. Modalnya dengan menjaja berita kononnya ada
Adun akan berpaling tadah.
Khabar angin politik yang juga hangat diperkatakan ialah kononnya MB
negeri di Selatan tanah air sedang diusahakan untuk disingkirkan.
Kononya ada gerakan penyingkiran MB itu yang dilakukan oleh seorang
timbalan menteri yang digambarkan berminat unuk menjadi MB negeri itu.
Kini isu itu sudah riuh randah sehinggakan ketenangan air di selatan
berhampirannya terganggu.
Itu juga khabar atau angin politik yang disebarkan begitu rupa.
Berbanding dengan dua khabar angin politik di atas tadi, khabar angin
ini ada sedikit asasnya. Tetapi statusnya tidak jauh berbreza.
Khabar angin politik seterusnya dan ini paling menarik dan dinanti-nanti
oleh setengah orang, ialah yang melibatkan dua tokoh politik. Khabar
ini lebih menarik dan merujakan perasaan orang mendengarnya. Satu
kononnya Tengku Razaleigh Hamzah akan mengganti Najib Razak dalam
beberapa bulan ini. Tempoh yang disebut secara spesifik ialah selepas
Raya Aidifitri.
Asas kukuhnya tidak ada, tetapi dibina dengan persepsi tertentu demikian
rupa. Ceritanya tetap sama dengan versi cerita-cerita Tengku Razaleigh
akan mejelma menjadi PM sebelum ini. Secara ajaib?
Kononnya pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah itu atas kehendak Yang
di-Pertuan Agong. Khabar angin ini berlegaran secara senyap dari mulut
ke mulut sahaja. Ketidakhadiran Tengku Razaleigh di Kongres Rakyat dan
penandatangan deklarasi Umno Kelantan sokong Najib dijadikan alasan dan
pegangan?
Kononnya Tengku Razaleigh meralatkan kehadirannya bersama Dr Mahathir
untuk mengelombangkan gerakan menyingkirkan Najib kerana ahli parlimen
itu telah dibisikkan sesuatu yang melunakkan gelinganya oleh Najib.
Benarkah begitu? Masakan Tengku Razaleigh mudah tertidur dengan bisikan
itu?
Satu lagi khabar angin politik juga berhubung jawatan PM. Kali ini
terbabit dengan Anwar Ibrahim. Kononnya perundingan sedang dilakukan.
Anwar akan dibebaskan awal bagi membolehkan dia worm-up untuk
mengambil alih jawatan PM. Termasuk dalam agenda itu juga beliau akan
diberi pengampunan atau pun tahanan kediaman seperti Khir Toyo.
Selepas Anwar sihat dan pulih seperti sedia kala beliau akan diberikan
jawatan itu. Zahid Hamidi yang masih keteloran Jawa bila bercakap
Inggeris tidak berkeupayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai PM.
Kononnya juga perundingan telah diadakan. Isteri Anwar sudah beberapa
kali berjumpa dan berunding dengan Zahid Hamidi?
Itu pun khabar angin politik yang menarik juga. Setengah qaul dalam PKR
mempercayai dan menyakini akan berlaku proses berkenaan. Kepercayaan ini
juga seperti digambarkan oleh Dr Wan Azizah. Keengganan Dr Wan Azizah
untuk tidak bersama Dr Mahathir memberi gambaran itu bahawa beliau lebih
percaya kepada Zahid daripada Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan