Rabu, 6 April 2016

Kevin Morais tidak kendali kes 1MDB

SINAR HARIAN


Anthony Kevin Morais
Anthony Kevin Morais


KUALA LUMPUR - Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais tidak mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata adik bongsunya Datuk Richard Morais di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Richard, 50, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguambela, Datuk Geethan Ram Vincent, mewakili doktor dan pakar patologi tentera, Kolonel Dr R. Kunaseegaran berhubung penglibatan Kevin Morais dalam kes 1MDB.

"Tidak ... dia tidak mengendalikan kes 1MDB. Saya mendapat tahu tentang kes itu hasil siasatan saya dalam akhbar," katanya ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Ketika ditanya oleh seorang lagi peguambela Datuk N. Sivananthan sama ada abangnya ialah Timbalan Pendakwa Raya yang menjalankan pendakwaan terhadap ramai orang termasuk anak guamnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Richard menjawab dia mendapat tahu daripada polis bahawa pertengkaran berlaku antara Kevin Morais dan tertuduh (Kunaseegaran) dua hari sebelum kehilangan abangnya.

Sivananthan: Adakah kamu sedar bahawa polis pergi ke mahkamah dan mengambil semua CCTV tetapi tidak menemui apa-apa rakaman mengenai insiden itu antara anak guam saya dan abang kamu?

Richard: Tidak, Saya tidak ingat. 

Sivanantahan: Adakah kamu membuat andaian mengenai kebersalahan anak guam saya kerana dia duduk di kandang tertuduh?

Richard: Ya

Ketika ditanya mengenai bedah siasat kedua ke atas mayat Kevin Morais, Richard berkata "Charles (abang kedua) mahu melakukan bedah siasat kedua, Saya bersetuju. Tetapi dia mengelirukan dan mengheret saya, menyuruh saya melakukannya sendiri.

"Dia mengelirukan semua orang. Saya berpuas hati dengan kerajaan," kata Richard selaku saksi pertama pihak pendakwaan.

Menurut Richard, dia mempercayai hasil bedah siasat pertama dan menaruh kepercayaan kepada kerajaan dalam mengendalikan kes itu sejak hari pertama siasatan.

Ketika pemeriksaan oleh seorang lagi peguambela, M. Manoharan, saksi itu berkata dia tidak tahu tentang penglibatan Kevin Morais dalam kes pecah amanah jenayah membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Ahmad Zubir Mursyid.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa, Richard memberitahu beliau menuntut mayat Kevin Morais pada 23 Nov 2015, iaitu dua bulan selepas proses bedah siasat pertama dijalankan.

Menjawab soalan Abdul Razak mengapa beliau mengambil masa dua bulan untuk menuntut mayat abang sulungnya, Richard berkata abang keduanya Charles tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat pertama dan memohon bedah siasat kedua dijalankan.

Bagaimanapun, bedah siasat kali kedua itu masih tidak dilakukan, 17 hari selepas keputusan bedah siasat pertama dikeluarkan, katanya.

Ketika ditanya Abdul Razak mengenai keadaan mayat Kevin Morais, Richard, yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat muzik berkata mayat abangnya telah reput kali pertama beliau melihat mayat itu, iaitu 12 hari selepas kehilangannya.

Beliau berkata kali pertama dia melihat mayat abangnya ialah di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pada 16 Sept 2015 dan mayat itu juga sukar dikenal pasti kerana diselaputi simen.

Abdul Razak: Boleh jelaskan keadaan mayat Kevin Morais ketika itu?

Richard: Kamu tanyalah kepada Dr Kuna (Kunaseegaran), dia lebih mengetahui.

Ini mendorong Sivananthan untuk mencelah sambil berkata saksi tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu kepada tertuduh.

Hakim Azman berkata "ini kes pertama Richard, mangsa pula abangnya, sudah tentu dia lebih beremosi"

"Mayat abang saya sudah reput dan sukar dikenali, bagaimana hendak mengenali kerana mukanya diselaputi simen selepas 12 hari," katanya.

Selepas itu, katanya, beliau diminta menjalani ujian DNA pada 18 September 2015 sebelum keputusan DNA disahkan sepadan dengan DNA Kevin Morais dua hari kemudian.

"Setelah disahkan mangsa adalah mayat abang, saya membuat tempahan di Nirvana untuk upacara sembahyang di gereja," katanya sambil menambah kali terakhir dia berjumpa dengan Kevin ialah dua bulan sebelum kehilangannya.

Kepada soalan Sivananthan, Richard memaklumkan beliau mengetahui mengenai kehilangan Kevin pada 5 September 2015 melalui sepupunya yang dikenali sebagai Priya. 

Katanya, Priya memaklumkan Kevin Morais tidak pulang ke apartmentnya di Menara Duta di sini sejak 4 September 2015 selepas dia keluar dari rumah pada 7.45 pagi.

"Priya mendapat maklumat itu daripada rakan serumah Kevin Morais iaitu Darvin, 24, yang menghubunginya selepas beliau (Darvin) gagal menghubungi Kevin, pada hari kejadian," katanya.

Richard berkata, selepas mendapat maklumat itu, beliau terus membuat laporan polis pada 5.04  petang hari yang sama di Balai Polis Sentul.

Pada 27 Januari lepas, enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A. K Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran diwakili peguam V. Rajehgopal manakala Dinishwaran dan Thinesh Kumar diwakili oleh Manoharan. -Bernama


Tiada ulasan: