Selasa, 5 April 2016

Kes penculikan, Shahidan tolak desakan letak jawatan

MALAYSIAKINI




Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menolak gesaan seorang ahli parlimen pembangkang supaya beliau meletak jawatan berhubung kes pencerobohan terbaru di Sabah yang juga menyaksikan empat rakyat diculik, Jumaat lalu.

Beliau mengulas kenyataan Oscar Ling (DAP-Sibu) yang mahu menteri itu meletak jawatan kerana kerajaan gagal untuk menghentikan penculikan berkenaan.

Ahli Parlimen pembanngkang itu mendakwa bahawa rasuah adalah antara sebab kegagalan keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) walaupun kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion.

Sebaliknya, Shahidan berkata pengukuhan keselamatan yang dilaksanakan Esscom di
kawasan-kawasan tertentu menyebabkan kumpulan penculik kini mengalih sasaran mereka terhadap kapal-kapal dagang yang bergerak perlahan dan lambung bebas.

"Ini jelas menunjukkan bahawa inisiatif pengukuhan keselamatan oleh Esscom di pusat peranginan, tempat tumpuan pelancongan, sangkar ikan dan laluan berisiko adalah berkesan, yang memaksa kumpulan penculik ini menyasarkan kapal-kapal dagang.

"Tempat-tempat sasaran mereka sekarang ditukar ke tempat yang mereka rasa mungkin jauh daripada kawasan yang kita beri perhatian," katanya semasa menggulung perbahasan usul tergempar mengenai penculikan di Sabah pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, usul itu dibentangkan oleh Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) bagi membolehkan dewan membincangkan isu berkenaan dan mencari jalan mengelak perkara itu daripada berulang.

Pada 6.15 petang Jumaat lalu, anak-anak kapal tunda Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan.

Mengenai insiden itu, Shahidan berkata Esscom telah menerima maklumat itu pada 8.30 malam hari kejadian dan mengambil tindakan serta merta termasuk mengerahkan aset udara ke kawasan kejadian dan membuat pencarian di sepanjang Timur Laut Pulau Ligitan.

Selain itu, beberapa aset laut turut digerakkan ke lokasi sama dan meneruskan usaha pencarian sehingga sekarang.

Beliau menjelaskan kejadian penculikan itu berlaku di luar kawasan liputan radar yang terletak di Pulau Danawan kerana radar itu hanya dapat mengesan sejauh 37 kilometer.

"Penculik ini mencari jalan (untuk membuat jenayah) di ruang yang boleh dapatkan rakyat Malaysia," katanya.

Shahidan turut menggesa pengendali kapal dagang yang beroperasi di kawasan itu supaya bertindak pantas dengan menekan 'punat isyarat kecemasan' apabila menerima ancaman supaya maklumat mengenainya sampai kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Usul itu turut dibahaskan oleh beberapa ahli parlimen termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (BN-Semporna) yang meminta kerajaan mengambil serius kejadian itu keranan ia turut membabitkan soal kedaulatan negara.

Beliau meminta kerajaan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Filipina bagi menangani kejadian tersebut dan menaik taraf peralatan dan kelengkapan untuk pasukan keselamatan bagi membolehkannya mengawasi kawasan itu dengan menyeluruh.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula menggesa kerajaan menggunakan semua kekuatan yang ada untuk menjamin keselamatan rakyat Sabah dan menghentikan insiden penculikan daripada berulang.

Tiada ulasan: