Sabtu, 9 April 2016

Kenaikan gaji suntik semangat penjawat awam

SINAR HARIAN


Lok Yim Pheng
Lok Yim Pheng
 
 
KUALA LUMPUR - "Kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini akan memberi motivasi kepada 1.6 juta penjawat awam untuk meningkatkan sistem penyampaian," kata Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Lok Yim Pheng.

Beliau berkata ia juga dapat membantu penjawat awam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Cuepacs pada mulanya bimbang sama ada berlaku kenaikan gaji atau tidak. Dengan janji kerajaan meneruskan kenaikan satu tangga gaji, kami merasa lega dan berterima kasih.    

"Kelegaan ini lebih-lebih lagi dirasai kumpulan gred rendah termasuk mereka yang mempunyai kelulusan PMR dan SPM," katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali memberi jaminan kerajaan akan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji pada 1 Julai ini meskipun keadaan ekonomi sukar.

Katanya, kerajaan juga berjanji meneruskan penambahbaikan kepada 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406,000 penjawat awam.

Yim Pheng berkata, keputusan menaikkan satu tangga gaji itu juga adalah hasil kerjasama dan perbincangan antara Cuepacs dan kerajaan.

"Meskipun ada lagi tuntutan lain daripada Cuepacs seperti kadar elaun, ia  perlu diputuskan secara berperingkat supaya tidak membebankan kerajaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: