Rabu, 20 April 2016

Kemalangan Jalan Raya : Sedia Mekanisme Kurangkan Kesesakan Di Atas Jalan Raya



 
OLEH NIK MOHAMAD ABDUH


1.    Jumlah kemalangan yang mencecah sehingga 489,606 kes dengan 6,706 kematian pada 2015 adalah sangat membimbangkan. Walaupun angka kematian ini lebih rendah berbanding jangkaan asal iaitu 8,760 kematian, Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) juga menjangkakan menjelang 2020, angka tersebut akan meningkat kepada 10,716 kematian.

2.    World Health Organization (WHO) pada Mei 2014 di dalam laporannya pernah merekodkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia ialah 25.25 menjadikan negara ini berada pada kedudukan ke-34 daripada 172 buah negara lain.

3.    Menyelesaikan masalah ini, DPPM bersetuju dengan keputusan Kerajaan antaranya untuk melaksanakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan membuat penilaian ke atas keselamatan jalan raya dan penyiasatan kemalangan di LPT2 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, DS Liow Tiong Lai kelmarin.

4.    Namun, DPPM tetap tidak bersetuju dan membantah pelaksanaan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan tambahan pemasangan sebanyak 1,200 lagi kamera AES di seluruh negara yang memberikan tumpuan kepada kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu isyarat. Ini kerana, tindakan tersebut dilihat hanya akan “menjerat” banyak pengguna khususnya di kawasan dalam bandar dan antara bandar dengan kesalahan trafik berbanding untuk mendidik sikap pengguna jalan raya.

5.    Sebagai tambahan, DPPM mencadangkan agar Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain mewujudkan mekanisme yang dapat mengurangkan kesesakan di atas jalan raya. Dua aspek perlu diberikan tumpuan iaitu (i) mengurangkan jumlah kenderaan aktif di atas jalan raya dan (ii) mengurangkan kesesakan kenderaan di atas jalan raya pada satu-satu masa; khususnya pada waktu puncak.

6.    Jumlah kenderaan di atas jalan raya ini perlu dikurangkan memandangkan jumlah kemalangan meningkat seiringan dengan peningkatan kadar bilangan kenderaan aktif di atas jalan raya berbanding jumlah populasi. Sebagai contoh, pada 2009, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi ialah 50.4 dan jumlah kemalangan ialah 397,330 kes. Manakala pada 2013, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi meningkat kepada 58.0 dan jumlah kemalangan pula meningkat kepada 477,204 kes.

7.    Oleh itu, keberkesanan dan kebolehcapaian pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan awam termasuk isu kos tinggi yang perlu ditanggung oleh pengguna juga mesti diberikan perhatian serius oleh Kerajaan. Sekiranya isu perkhidmatan pengangkutan awam ini dapat diselesaikan dan ditambahbaik, ia pasti menjadi salah satu langkah yang sangat berkesan untuk mengurangkan kesesakan di atas jalan raya justeru mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”


* NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ. Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia /
Ahli Parlimen Pasir Mas

Tiada ulasan: