Khamis, 14 April 2016

Jbt Negara AS: Dasar pro-Melayu langgar hak asasi manusia

MALAYSIAKINI

 


Dasar mengutamakan orang Melayu oleh kerajaan Malaysia disenaraikan sebagai antara pelanggaran hak asasi manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Jabatan itu berkata demikian dalam Laporan Amalan Hak Asasi Manusia 2015, yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry hari ini.

Ia juga menamakan pendakwaan ke atas mereka yang tidak sehaluan, penahanan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kes liwat pada Februari 2015 sebagai antara pencabulan hak asasi.

"Turut menjadi kebimbangan adalah intimidasi polis; siasatan hasutan dan perhimpunan haram; tuduhan terhadap puluhan aktivis, peguam dan ahli politik pembangkang; dan pendakwaan bermotifkan politik berhubung penahanan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim," petik laporan itu.

Ia juga menyatakan bahawa terlalu kurang pemantauan berhubung keberkecualian polis, termasuk kematian atau penderaan dalam kes-kes tahanan.

Ia menyatakan bahawa NGO dan media tidak dibenarkan untuk memantau keadaan penjara, dan bahawa akses tetap dibenarkan untuk Palang Merah dan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (Suhakam) berdasarkan kes demi kes.

Akses juga diberikan kepada agensi pelarian Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR, tetapi seringkali lewat pada masanya.

Mei tahun lalu, wakil UNHCR berkata pegawai imigresen memberi akses terlalu lambat kepada pelarian Rohingya yang tiba di pusat tahanan Belantik di Kedah, katanya.

Pelanggaran hak asasi manusia lain termasuk:
  • Pengharaman terhadap kumpulan agama, sekatan untuk murtad dan kebebasan menukar agama;
  • Penahanan tanpa bicara;
  • Rotan sebagai satu bentuk hukuman;
  • Rasuah di kalangan pegawai;
  • Keganasan dan diskriminasi terhadap wanita;
  • Diskriminasi terhadap lesbian, gay, biseksual, transgender dan masyarakat interseks;
  • Sekatan hak pendatang, termasuk pelarian dan mangsa pemerdagangan orang; dan
  • Sekatan ke atas aktiviti kesatuan dan perundingan kolektif.

Tiada ulasan: