Rabu, 6 April 2016

'Jangan guna hospital kanak-kanak bina reputasi peribadi'

MALAYSIAKINI




Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan projek Hospital Pakar Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digunakan untuk membina reputasi peribadi, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

Ong Kian Ming (DAP-Serdang) menegaskan bahawa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada satu majlis rasmi yang berkaitan dengan projek berkenaan.

Susulan itu, katanya, hospital kanak-kanak itu kini dinamakan sempena Hospital PERMATA, pertubuhan yang dinaungi oleh Rosmah.

"(Kementerian Pengajian Tinggi perlu) memastikan keutamaan hospital kanak-kanak itu dan tidak (biarkan ia) terpengaruh dan diputarbelitkan oleh pihak yang ingin menggunakan hospital untuk membina reputasi peribadi mereka di dalam dan di luar negara," katanya.

"Saya tidak mempersoalkan kepentingan Hospital Pakar Kanak-kanak yang adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

"Tetapi saya ingin tanya keutamaan hospital kanak-kanak di UKM ini kerana beberapa insiden yang telah berlaku," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

"Menurut laman web Permata Negara, pemacu utama hospital itu adalah tidak lain daripada Rosmah dan hospital akan diberi nama Hospital Pakar Kanak-kanak Permata," katanya.

Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap memberi amaran kepada Ong supaya berhenti mempolitikkan isu itu.

"Saya rasa kita hanya perlu memberi fokus kepada keperluan untuk membina hospital ini kerana kanak-kanak adalah generasi masa depan negara," katanya.

"Saya nasihatkan anda untuk berhenti mempolitikkan isu ini kerana kementerian telah mengambil setiap faktor," katanya.

Tiada ulasan: