Ahad, 10 April 2016

Jakim siasat status halal mi segera dari Korea

halal
Gambar hiasan.


SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap mi segera dari Korea yang diragui status halalnya.

Menurut Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal berkata, hasil siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Untuk makluman pengguna, mi segera ini merupakan produk Korea yang telah mendapat pengesahan daripada Korea Muslim Foundation (KMF) iaitu salah sebuah Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf oleh Jakim.

“Namun begitu, status logo dan kehalalan produk tersebut belum dapat dikenal pasti. Siasatan bersama pihak KMF di Korea sedang giat dilakukan. Hasil siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, paparan skrin yang menunjukkan perbualan tentang status halal mi segera dari Korea itu menjadi viral kerana didakwa mengandungi unsur syubhah gara-gara menggunakan mesin sama dengan produk yang mengandungi unsur babi.

Menurut Jakim lagi, setiap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf telah diaudit berdasarkan prosedur dan piawaian ditetapkan oleh pihaknya.

“Pengguna diharap tidak membuat andaian awal sehingga pengesahan daripada pihak KMF diperoleh,” katanya.


Tiada ulasan: