Isnin, 25 April 2016

Hakim baru akan dengar kes saman RM2.6b Dr M ke atas Najib

Hafiz Yatim
 
  


Saman RM2.64 bilion yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan didengar di hadapan seorang hakim baru.

Ini adalah kerana hakim yang dijadualkan untuk perkara itu, Hakim Datuk Rosnaini Saub akan dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, berkuat kuasa 2 Mei.

Menurut peguam Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla, arahan pemindahan untuk Hakim Rosnaini dikeluarkan sebelum beliau ditugaskan untuk mendengar kes itu dan sebelum ia difailkan.

Berikutan itu, Haniff berkata, Rosnaini tidak membuat sebarang perintah hari ini, apabila perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes.

Walau bagaimanapun, peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 26 Mei ini untuk mendengar permohonan Najib untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk permohonan perdana menteri untuk tidak memfailkan pembelaan dan injunksi mareva dipohon oleh Mahathir untuk membekukan aset Najib.

Berikutan ini, kedua-dua pihak, melalui peguam mereka, bersetuju bahawa kenyataan pembelaan Najib yang pada asalnya dijadualkan esok, ditangguhkan sementara menunggu keputusan perbicaraan 26 Mei.

"Jika mahkamah tidak bersetuju membenarkan penangguhan, Najib perlu memfailkan pembelaannya menjelang 2 Jun," kata Haniff.

Dr Mahathir, bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 23 Mac lalu memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Najib adalah defendan tunggal dalam tuntutan itu.

Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Tiada ulasan: