Selasa, 19 April 2016

Hak perumahan harus dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan

steven sim
Roketkini.com


Di Bukit Mertajam ada sebuah kampung peneroka yang dipanggil Kampung Permatang Tok Subuh. Kampung ini diteroka dan didiami oleh keluarga penduduk sekarang daripada tahun 1950 lagi. Seawal September 1987, penduduk kampung telah pun membayar cukai pintu kepada kerajaan tempatan.

Namun, sejak Mei 2013, 52 buah keluarga peneroka telah mendapat notis pengusiran paksa daripada pemilik tanah Distinct Class Sdn. Bhd. supaya mengosongkan rumah-rumah yang mereka telah didiami sejak tiga generasi.

Separuh daripada keluarga Kampung Permatang Tok Subuh berpindah akibat notis pengusiran paksa tersebut manakala 26 keluarga lagi telah membuat keputusan untuk mempertahankan hak mereka. Justeru sejak 2013, saya dan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon telah berjuang bersama-sama dengan 26 buah keluarga peneroka ini: kami bermalam sudah, berhari sudah, berbuka sudah, bersahur sudah.

Daripada masuk pejabat peguam, sehingga masuk mahkamah. Daripada masuk kamar hakim sehingga pejabat Ketua Menteri, itu semua pun sudah.

Tetapi, setelah berjuang selama tiga tahun, akhirnya kami kalah di mahkamah. Maka pada 17 Februari yang lepas, 26 keluarga peneroka ini telah menerima notis bailif untuk mengosongkan rumah mereka.

Mereka ditawarkan sejumlah wang daripada RM10,000 hingga RM37,000. Jumlah ini langsung tidak dapat memperoleh sebuah rumah waima rumah kos rendah sekalipun. Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh bergaji antara RM900 sehingga RM2,500, ramai yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Paling tua di sana, Pak Cik Yusof sudah berumur 78 tahun, manakala ada seorang wanita Puan Norhaswana yang baru melahirkan cahaya mata bulan lepas. Kemanakah mereka ini akan pergi jika rumah-rumah mereka dirobohkan? Tuntutan mereka mudah, bukan mahukan bunglo atau kondo, mereka hanya mahukan rumah sebagai ganti.

Kampung Permatang Tok Subuh: Watak berubah, cerita sama

Walaupun saya mengisahkan perjuangan Kampung Permatang Tok Subuh, jalan ceritanya hampir sama jika kita gantikan nama kampung dengan Siputeh-Tronoh Perak, Kampung Ulu Temiang dan Kampung Hakka, Negeri Sembilan, Kampung Bakar Batu di Johor, ataupun Kampung Chubadak, Kuala Lumpur. Semua kes ini berkaitan dengan pengusiran paksa terhadap kaum peneroka.

Mengapa ini berlaku?

Undang-undang tanah di Malaysia yang terkandung dalam Kanun Tanah Negara 1965 jelas tidak memihak kepada peneroka. Prinsip pengurusan tanah yang kita gunapakai ialah berdasarkan Sistem Torrens Australia, di mana hanya hak milikan yang tercatat di atas sehelai kertas yang bergelar “hakmilik” yang diiktirafkan.

Ini bermaksud, kerja-kerja peneroka mengusahakan tanah langsung tidak diiktiraf – dan apabila berlaku kes seperti Kampung Permatang Tok Subuh, maka pemilik tanah ataupun pemaju akan melontarkan wang kepada penduduk kampung untuk menghalau mereka keluar dari tanah yang sudah dikerjakan berpuluh malah beratus tahun lamanya. Wang yang diberikan kepada peneroka pun tidak dipanggil “pampasan” walaupun si pemegang hakmilik mengambil rumah orang ataupun mengusir orang dari tanah yang sudah dibasahi darah keringat. Wang itu kalau bahasa indah, dipanggil “ex-gratia”. Dalam bahasa orang kampung itu duit tutup mulut.

Daripada tahun 1982 lagi, mahkamah sudah memutuskan perkara ini secara muktamad:

It is well established that a court of equity will never assist squatters to resist an order of possession illegally acquired…So the courts must, for the sake of law and order, take a firm stand. We can sympathise with the plight in which the appellant (i.e. the squatters) find themselves. But we can go no further. They must make their appeal elsewhere, not to us.“ (Sumber: Sidek bn Hj Muhammad & Ors. v Government of Perak [1982] 1 MLJ 313)

Penghakiman di atas dibuat oleh Almarhum Sultan Azlan Shah semasa baginda menjadi Ketua Hakim Negara. Saya tertarik dengan cadangan Almarhum – “they must make their appeal elsewhere” – seakan-akan hakim yang bijaksana ketika itu telah mengisyaratkan bahawa ada forum yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan.

Justeru, 34 tahun selepas kes Sidek bn Hj Muhammad, pada 17 Mac 2016, saya telah menguji keputusan penghakiman Almarhum Sultan Azlan Shah – dengan membawa rayuan si peneroka ke forum yang lagi satu itu, yakni Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Berikut merupakan ENAM (6) pembaharuan berkaitan hak peneroka yang telah saya bentangkan dalam ucapan perbahasan saya di Parlimen.

Pembaharuan 1: Pengiktirafan rasmi Perlembagaan terhadap hak perumahan
Pertama, perkara fundamental ataupun perkara asas yang perlu diperbaiki di negara ini ialah pengiktirafan rasmi untuk hak perumahan sebagai hak asasi manusia.

Pada masa kini, terutamanya melalui Kanun Tanah Negara 1965, dan keputusan mahkamah, hanya hak pemegang hakmilik diiktirafkan oleh undang-undang.

Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan pada tahun 2011 langsung tidak menyebut perumahan sebagai hak.

Bagi tujuan ini, saya mencadangkan agar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tentang “Kebebasan diri” dipinda untuk memasukkan pengiktirafan terhadap hak perumahan memandangkan hak kebebasan diri patut merangkumi suatu kehidupan yang berkualiti.

Cadangan saya ialah untuk meminda Perkara 5 tersebut dengan memasukkan Artikel 25 Deklarasi Hak Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berbunyi:

“Setiap manusia mempunyai hak ke atas piawaian kehidupan yang mencukupi bagi kesihatan dan kesejahteraan diri dan keluarga, termasuk makanan, pakaian, perumahan dan penjagaan kesihatan, dan perkhidmatan sosial yang diperlukan, dan perlindungan daripada risiko pengangguran, penyakit, kecacatan, kematian pasangan, hari tua dan apa-apa kekurangan dalam kehidupan di luar kawalannya.”

Hak perumahan ini perlu dilindungi tanpa mengambilkira status pendudukan, termasuklah untuk kaum peneroka. Ini selaras dengan saranan-saranan badan hak asasi antarabangsa. (Cth. Sumber: General Comment No. 4, The Committee on Economic, Social and Cultural Rights, UN)

Pembaharuan 2: Gubal undang-undang baru mempertahankan hak perumahan dan menghentikan pengusiran paksa

Keduanya, saya menyeru agar Parlimen menggubal suatu akta yang sesuai sebagai memberikan ungkapan terhadap hak perumahan ini dan juga kepada Perkara 13(1) dan 13(2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu tentang “Hak terhadap harta”, dan saya petik Perkara 13(2), “Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai”.

Sebenarnya, tanpa sebarang pindaan sekalipun, kini kaedah “pengusiran paksa” peneroka di seluruh negara jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan ini. Dalam sesetengah kes, jentera kerajaan seperti Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan digunakan untuk melaksanakan pengusiran paksa.
Justeru kita perlu undang-undang baru untuk memperbetulkan keadaan. Antara objektif undang-undang baru ini termasuklah:

1) memberi ungkapan kepada hak perumahan, ataupun “to give expression to the right to housing”, berasaskan konsep yang didukung oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang merangkumi tujuh (7) perkara iaitu, a) perlindungan hak pendudukan (“security of tenure); b) ketersediaan perkhidmatan, barangan, kemudahan dan infrastruktur; c) mampu milik; d) keboleh-hunian (“habitability”); e) kebolehcapaian (“accessibility”); f) lokasi; g) kebudayaan (“cultural adequacy”) (Sumber: General Comment No. 4, The Committee on Economic, Social and Cultural Rights, UN)

2) penubuhan sebuah pihak berkuasa yang boleh dirayu untuk menuntut hak tersebut selaras dengan cadangan Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kes Sidek bin Hj Muhammad;

3) penentuan secara jitu, suatu formula pampasan memadai dalam sebarang kes pengusiran berdasarkan konsep hak perumahan di atas dan juga Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan, dan pampasan yang memadai perlu berasaskan prinsip, “rumah ganti rumah”;

4) perlindungan kepada hak-hak tanah adat dan tanah warisan;

5) larangan terhadap pengusiran paksa;

6) “pemutihan” terhadap peneroka di seluruh negara tak kira status pendudukan. Untuk masa kini, petempatan peneroka seperti Kampung Permatang Tok Subuh sebenarnya sudahpun diiktiraf melalui pemberian nombor patel alamat rumah dan dikenakan cukai pintu PBT. Justifikasi pemutihan ini adalah mudah: rakyat berhak ke atas perumahan dan jika kerajaan gagal menyediakan perumahan yang mencukupi, maka kerajaan perlu membenarkan rakyat untuk menyediakan perumahan tersebut, walaupun melalui kaedah petempatan tidak formal.

Saya percaya rakyat terutamanya rakyat miskin akan mengalu-alukan perundangan baru ini. Dan saya juga yakin, sektor swasta, termasuk pemaju dan pemegang hakmilik akan berasa lega dengan satu perundangan yang bakal memberikan ketentuan yang hakiki terhadap projek-projek pembangunan.

Kaedah masa kini yang menggunakan teknik pengusiran paksa sudah lapuk dan membawa imej buruk kepada syarikat swasta. Tambahan pula, oleh sebab tiada satu formula yang stabil, exgratia yang ditawarkan pada masa kini adalah berkadaran kepada berapa parti politik dan NGO yang terlibat dalam sesuatu kes pengusiran.

Ini menyebabkan pihak swasta tidak dapat meramal kos projek mereka, silap hari bulan, kena rugi beratus ribu ringgit. Dengan perundangan ini, akan wujud “predictability” – kalau nak buat kerja-kerja pembangunan, kos-kos pampasan memadai yang termaktub dalam formula statutori sudahpun diambilkira.

Pembaharuan 3: Pindaan terhadap Kanun Tanah Negara 1965

Ketiga, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 ialah perundangan utama berkaitan milikan tanah yang selalunya dirujuk dalam kes pengusiran paksa. Justeru bagi menyelaraskan pindaan Perlembagaan tentang hak perumahan, Kanun Tanah Negara juga perlu dipinda agar selaras dengan Perlembagaan.

Saya yakin, cadangan pembaharuan saya tidak akan menjejaskan prinsip “no adverse possession against the state” (seksyen 48 KTN) ataupun prinsip “indefeasibility of title” (seksyen 92 KTN), ataupun kuasa-kuasa kerajaan berkenaan hal ehwal tanah secara umumnya dalam Kanun Tanah Negara masa kini.

Namun, beberapa perkara boleh dipinda bagi tujuan menyelaraskan bidang kuasa Kanun Tanah Negara kepada hak perumahan, termasuklah;

a) Pindaan Seksyen 79 Kanun Tanah Negara untuk memasukkan hak perumahan sebagai perkara untuk dipertimbangkan semasa pemberian hakmilik tanah oleh kerajaan;

b) Pindaan Seksyen 425 untuk mengiktirafkan hak perumahan sebagai perlindungan daripada kesalahan pendudukan tanpa kebenaran tanah kerajaan, atau tanah rizab.

Pembaharuan 4: Moratorium terhadap pengusiran 

Keempat, bagi memastikan hak perumahan terpelihara dalam tempoh undang-undang di atas dipinda dan digubal, saya mencadangkan satu moratorium terhadap pengusiran baru untuk masa setahun, dengan tempoh moratorium boleh dilanjutkan sekiranya perundangan tersebut belum siap dilaksanakan.

Pembaharuan 5: Penyediaan rumah mampu milik

Kelima, sudah tentu perbincangan hak perumahan tidak lari dari tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ketersediaan rumah mampu milik. Dasar Perumahan Negara 2011 setakat ini masih belum dapat menyelesaikan masalah perumahan yang ada.

Contohnya dalam kes Kampung Permatang Tok Subuh, para peneroka telah dijanjikan rumah PRIMA sekitar pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Namun, sehingga sekarang, sudah tiga tahun, rumah belum dibina dan janji entah ke mana. Pada 12 Mac 2015, saya telah bertanya dalam Dewan ini status janji tersebut. Menteri yang menjawab tidak menafikan janji itu tetapi langsung tidak menyebut tentang tawaran kepada penduduk kampung.

Dasar Perumahan Negara 2011 juga tidak mengiktirafkan perumahan sebagai hak asasi. Malah apabila dibaca, perumahan dianggap komoditi. Kerajaan perlu mengubah halatuju Dasar Perumahan Nasional ini agar melindungi nilai-guna ataupun “use-value” untuk perumahan terutamanya bagi golongan kelas rendah dan menengah.

Pembaharuan 6: Penubuhan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan

Akhir sekali, pembaharuan ke-enam, saya sarankan agar sebuah Jawatankuasa Parlimen Pindaan Perlembagaan bipartisan yang turut merangkumi wakil kerajaan pusat, kerajaan negeri, pakar perundangan, dan wakil masyarakat sivil ditubuhkan untuk mengkaji, memimpin dan menyelia segala pembaharuan yang saya cadangkan di sini. -Roketkini.com

Tiada ulasan: