Sabtu, 16 April 2016

Gempa bumi: Semua pelajar M'sia di Kumamoto selamat

MALAYSIAKINI




Kesemua 18 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di tiga universiti di daerah Kumamoto, Jepun, yang dilanda gempa bumi pada hari Khamis, dilaporkan selamat.

Kedutaan Besar Malaysia di Jepun telah menghubungi kesemua pelajar berkenaan yang menuntut di Kumamoto University, National College of Technology Kumamoto dan Ariake National College of Technology, selepas kejadian dan mendapati kesemua mereka selamat, menurut Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi.

"Kesemua pelajar dilaporkan berada di zon pemindahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Jepun di bandar itu," menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia juga kini sedang mengesan status rakyat Malaysia yang lain yang berada di kawasan berkenaan.

"Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi semasa dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk sebarang maklumat dan perkembangan terkini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kerajaan Jepun telah mengumumkan bahawa pihak berkuasanya telah mengambil langkah sewajarnya dalam menangani situasi tersebut, termasuk menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Pada hari Khamis, satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda barat daya Jepun pada 9.26 malam, meragut sembilan nyawa dan lebih 700 cedera dalam kejadian tersebut.- Bernama


Tiada ulasan: