Khamis, 7 April 2016

Gaji minimum baharu munasabah dan berpatutan - Wahid Omar

Pritha Manivannan, Astro Awani
 
Gaji minimum baharu munasabah dan berpatutan - Wahid Omar
Majikan harus menilai semula model perniagaannya jika tidak mampu membayar gaji minimum baharu pekerja. -Foto BERNAMA
 

KUALA LUMPUR: Majikan harus menilai semula model perniagaannya jika tidak mampu membayar gaji minimum baharu pekerja.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, ini harus dilakukan berbanding membuang pekerja atau meningkatkan harga barangan.

Pada masa sama, Wahid berkata jumlah gaji minimum baharu iaitu RM1,000 sebulan adalah munasabah dan berada pada paras yang berpatutan.

"Pada pendapat saya, jika anda melihat paras munasabah bagi gaji minimum, saya rasa ia berpatutan.

"Jika perniagaan melihat kadar ini sebagai terlalu tinggi, mereka harus mengambil langkah meningkatkan produktiviti dan menilai semula model perniagaan untuk menarik lebih ramai pelanggan," kata Abdul Wahid.

Tambah beliau, sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk meningkatkan gaji minimum, beberapa faktor telah dinilai.

Ini termasuk cadangan yang diberikan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), persatuan pekerja dan wakil kerajaan.

Pada 5 Mac, kerajaan memutuskan kadar gaji minimum yang ditetapkan untuk pekerja bermula Julai ini adalah RM1,000.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata keputusan itu diambil selepas menilai pelbagai aspek termasuk kos sara hidup dan perkembangan ekonomi negara.

Tingkatkan produktiviti selaras gaji minimum baharu

Sementara itu, pakar ekonomi Asian Development Bank, Jayanth Menon berkata produktiviti pekerja di Malaysia harus ditingkatkan selaras dengan kadar gaji minimum yang baharu kepada RM1,000 sebulan.

"Jika gaji ditingkatkan, tetapi cara pekerjanya melakukan kerja tidak berubah, ia mungkin memberi kesan negatif dan akan menyumbang kepada pembuangan pekerja.

"Jika persatuan pekerja ingin berusaha meningkatkan tahap produktiviti supaya kos pekerja seunit tidak berubah, ia akan memberi kesan positif kepada pekerja dan juga majikan," kata Jayanth.

Beliau turut berkata penyusutan nilai ringgit sebelum ini telah menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

Oleh itu, peningkatan gaji minimum ini akan membantu pekerja menampung perbelanjaan isi rumah.

Turut senada, Ketua Ekonomi Kumpulan IQI, Shan Saeed berkata peningkatan gaji minimum ini akan memberi manfaat jika kemahiran pekerja turut ditingkatkan.

"Pada pendapat saya, cara yang paling efektif dengan peningkatan gaji minimum ialah dengan meningkatkan kadar kemahiran pekerja yang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi," kata Shan.
Tambahnya, keputusan yang diambil kerajaan ini akan menjadikan pekerja lebih efisien dan meningkatkan produktiviti pada tahap makro dalam jangka panjang.

Selain itu, Pengarah Pusat EU-Asia, Fraser Cameron berkata peningkatan gaji minimum akan menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia.

"Ini akan meningkatkan perbelanjaan pengguna. Ini bermakna Malaysia akan mendapat golongan pekerja yang bermotivasi tinggi, mereka akan mempunyai kuasa pembelian yang tinggi, dan ia akan memanfaatkan semua," kata Fraser.

Beliau berkata demikian selepas Debat Presiden ACCA di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tiada ulasan: