Selasa, 12 April 2016

Forum Dr Zakir Naik di KL diteruskan

Dr Zakir Abdul Karim Naik


SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengesahkan program ceramah Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini diteruskan.

Beliau menyampaikan berita itu melalui kemas kini status di Facebooknya, sebentar tadi.

“Saya sudah berjumpa Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahidi) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) serta bersetuju forum Dr Zakir Naik diteruskan.

“Mereka minta tajuk diubah dengan cara berhemah. Semoga ALLAH SWT memberkati,” katanya.
Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dijadualkan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Is the Quran God’s Word?’ pada Sabtu ini.

Satu sidang media berkaitan persediaan program tersebut akan diadakan oleh Shahidan Kassim petang ini.

Semalam, Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah memutuskan untuk tidak membenarkan forum Dr Zakir Naik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) demi ketenteraman awam dan sensitiviti beragama di negara ini.
 
Dr Zakir dijadualkan akan berada di UTeM bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' Ahad ini.

Sementara, Mufti Perlis yang mengulas mengenai larangan itu menawarkan Dr Zakir ke Perlis bagi menyampaikan ceramahnya memandangkan ceramah asalnya di Melaka itu dibatalkan.

Sebelum ini, ada pihak yang membantah kehadiran Dr Zakir ke Malaysia.

Tiada ulasan: