Jumaat, 22 April 2016

El Nino: Senator Cadang Sekolah Dilengkapi Pendingin Hawa

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang senator mencadangkan agar bilik darjah di sekolah-sekolah dilengkapi alat pendingin hawa agar sesi pembelajaran tidak terjejas walaupun ketika fenomena El Nino.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata langkah ini bagi memastikan murid dan pelajar dapat menghabiskan sukatan pelajaran terutama yang mengambil peperiksaan dan mengelak sekolah ditutup ketika cuaca panas melampau.

"Bila cuaca panas melampau sekolah tutup, sebelum ini sekolah tutup sebab jerebu, ini El Nino pula, jadi bagaimana anak-anak kita (murid dan pelajar) yang hendak menduduki peperiksaan, cukup belajar.

"Jika tidak cukup bajet, pasang 'air-cond' (pendingin hawa) di kelas yang pelajarnya ambil peperiksaan sahaja," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara pada Khamis.

Mohd Suhaimi berkata kerajaan dan Kementerian Pendidikan harus bersedia mengambil langkah yang perlu kerana fenomena El Nino merupakan kejadian yang boleh diramalkan dan berlaku secara berkala.

Seorang lagi Senator, Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad pula mencadangkan agar pembinaan bangunan yang menggunakan banyak cermin memantulkan haba dikawal untuk mengurangkan suhu panas kawasan persekitaran.

"Kita lihat banyak bangunan sekarang pakai banyak cermin, di dalam mereka 'tinted' supaya sejuk, tapi di luar ia memantulkan haba, suhu akan menjadi lebih panas.

"Jadi kita minta kementerian KPKT (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pantau, kalau boleh hentikan pembinaan bangunan cermin pantul haba ini," katanya.

Sementara itu, Shahanim Mohamad Yusoff pula mencadangkan sebuah tabung seperti Tabung Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi industri air untuk membangunkan teknologi baharu dalam menjamin bekalan air sentiasa mencukupi walaupun negara berdepan cuaca panas melampau.

"Wang untuk tabung ini boleh dikutip daripada akaun pengguna air seperti juga pengguna elektrik untuk TBB.

"Hasilnya boleh dibina lebih banyak empangan dan pembangunan teknologi alternatif seperti pengolahan air bawah tanah agar kita tidak menghadapi masalah air apabila El Nino melanda," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.-Bernama

Tiada ulasan: