Jumaat, 22 April 2016

El-Nino: Pelabuhan Klang catat IPU tidak sihat

Jerebu
Gambar hiasan.


SHAH ALAM - Ekoran daripada keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara pada masa ini, dua  kawasan telah dikenal pasti mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga jam 11 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Miri mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 146 manakala Pelabuhan Klang pula mencatatkan bacaan 105.

Selain daripada itu, sebanyak 26 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Shah Alam(83), Nilai(80), Batu Muda (79), Cheras (73) dan Kemaman (71).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Semalam, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa keadaan berjerebu yang dialami di Lembah Klang adalah disebabkan oleh asap kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk kebakaran hutan tanah gambut di Daerah Kuala Langat dan Daerah Sepang serta pelepasan dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri di Lembah Klang.

Selain itu, difahamkan kes-kes kebakaran yang berlaku sedang giat dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keadaan kebakaran adalah terkawal.

Pada masa kini, tiada pengaruh jerebu merentas sempadan kerana negara masih berada dalam musim peralihan monsun yang dijangkakan sehingga pertengahan bulan Mei 2016.


Tiada ulasan: