Sabtu, 30 April 2016

Dua pelajar maut kemalangan

Dua pelajar maut kemalangan
Orang awam membantu Alsyukri (kanan) dan Muhammad Firdaus (kiri) melafazkan syahadah.- Foto: Ehsan pembaca Sinar Harian.
 
 
ALOR GAJAH -  Seorang bapa tidak menyangka kali pertama dia menghantar anaknya ke sekolah pagi kelmarin menjadi kali terakhir dia bertemu anak bongsunya itu.

Mohd Hendra Zakaria, 51 bagaimanapun reda pemergian anaknya, Alsyukri Mohd Hendra, 16 akibat kemalangan di Jalan Lubok China, kelmarin.

Dalam kejadian kira- kira jam 3.30 petang itu, Alsyukri dan rakannya Muhammad Firdaus Shahrulnizam, 14, maut selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta.

Mohd Hendra Zakaria, 51 berkata, pada pagi sebelum kejadian, anaknya itu memberitahu mahu menumpangnya menaiki motosikal ke sekolah.

"Permintaan itu juga pertama kali disuarakan Alsyukri yang selama ini hanya berjalan kaki dari rumah kami di Taman Wira Mas ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China.

“Masa saya nak pergi kerja lepas subuh, dia cakap nak tumpang naik motor saya untuk ke sekolah dan sampai sekolah dia salam dan cium tangan macam biasa.

“Selama empat tahun ulang alik rumah ke sekolah yang jarak hanya 500 meter, dia tak pernah tumpang atau minta hantar ke sekolah dan ini pertama kali,” katanya.

Dia berkata, kejadian menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu hanya diketahui apabila menerima panggilan daripada seorang lagi anak lelakinya ketika sedang bekerja mengecat rumah di Bukit Beruang.

“Saya ingat kemalangan biasa dan saya ingatkan dia dihantar ke Hospital Melaka jadi saya ke sana untuk cari dia tapi petugas dekat kaunter bahagian kecemasan cakap tak ada kes Lubok China di situ.

“Saya minta tolong anak buah periksa dekat Hospital Alor Gajah dan doktor di situ sahkan anak saya dalam perjalanan ke hospital tapi sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, anak bongsunya itu  sering membantu isterinya Suzana Deraman, 49, di rumah, selain rajin menunaikan solat Maghrib di surau hadapan kediaman mereka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar itu maut selepas motosikal jenis Modenas Dinamik berlanggar kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 48 tahun yang sedang membuat pusingan U di hadapan SMK Lubok China.

“Kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah Lubuk China menghala Brisu sebelum pelanggaran yang menyebabkan bahagian kanan kereta remuk sementara dua mangsa terjatuh atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.


Tiada ulasan: