Ahad, 3 April 2016

Di tengah panas El Nino, mereka berhimpun penuh semangat

ANALISIS BORHAN AHMAD


Peserta perhimpunan Mansuhkan GST di Dataran Merdeka semalam berhimpun di tengah kepanasan El Nino.Peserta perhimpunan Mansuhkan GST di Dataran Merdeka semalam berhimpun di tengah kepanasan El Nino.


Ketika cuaca panas akibat fenomena El Nino melanda ibu kota, lebih 5,000 peserta memenuhi Dataran Merdeka bagi menuntut agar cukai yang membebankan dan menjadi punca kemarahan rakyat, GST dimansuhkan.

Ada sesetengah pihak yang anti kepada perhimpunan ini menyifatkan ianya gagal dengan menyiarkan gambar dari udara kononnya hanya sedikit yang menyertai perhimpunan ini.

Namun bagi yang menyertai dan penganjurnya, mereka menyifatkan inilah perhimpunan yang paling berjaya bagi mereka kerana berjaya mengumpulkan sejumlah peserta ketika cuaca panas melanda negara.

Pesertanya pula termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang sudah berusia 90 tahun lebih.

Anggota keselamatan pula berjaya mengawal perhimpunan ini dengan baik. Dilaporkan, lebih 10 buah bas dan 20 buah van mengangkut polis keluar dari kawasan perhimpunan selepas perhimpunan tamat.

Di samping itu, lebih 100 petugas DBKL berbaris pulang selepas ia selesai dengan baik.

Namun begitu, doa penutup majlis yang dibaca oleh Dr Badrul Amin sedikit sebanyak mengelirukan apabila beliau menyebut Mahazalim dan Mahafirauan yang sebelum ini ditujukan kepada Tun Dr Mahathir seolah-olah ia ditujukan kepada bekas perdana menteri 22 tahun itu yang turut menyertai perhimpunan kali ini.

"Hukum mereka yang memenjarakan Anwar Ibrahim ya Allah, dan mereka yang meneruskan hukuman itu," kata doa Badrul Amin itu yang dianggap ditujukan kepada Dr Mahathir.

Mahathir datang dengan misi jelas semalam iaitu mahu berusaha jatuhkan Najib sebagai perdana menteri kerana beliau dianggap punca masalah negara sekarang.

"Saya sendiri rayu pada Najib janganlah kena GST tapi dia tak peduli sebab itu kita mesti jatuhkan Najib. Dialah punca segala masalah kita semua.

"Beribu pekerja Mas, Petronas dibuang. Saya pun dibuang juga," ujarnya.

Tiada ulasan: