Rabu, 6 April 2016

Dewan: Selangor Benarkan Pemilik Tanah Persendirian Lebih 8 Hektar Lombong Pasir

Azmin


SELANGOR INSIDER


SHAH ALAM (Bernama) — Kerajaan Selangor membenarkan pemilik tanah persendiran melebihi lapan hektar menjalankan aktiviti perlombongan pasir di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata langkah itu adalah inisiatif terbaharu kerajaan negeri dan setakat ini, pihaknya telah menerima dua permohonan daripada pemilik tanah persendirian untuk menjalankan aktiviti perlombongan itu.

“Sebelum ini, permohonan permit untuk aktiviti itu mesti melalui KSSB (Kumpulan Semesta Sdn Bhd).

“Selepas ini, permohonan permit (oleh pemilik tanah persendirian) boleh dibuat melalui pejabat tanah dan daerah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) mengenai industri pasir termasuk bilangan lombong yang masih aktif selain usaha kerajaan negeri mengekang kes kecurian pasir di Selangor.

Mohamed Azmin berkata sehingga kini, terdapat 67 lombong pasir yang masih aktif iaitu 25 lombong di Kuala Selangor, masing-masing 10 lombong di Hulu Selangor dan Sepang, Hulu Langat (lapan), Kuala Langat (lima), Gombak (tujuh) dan Petaling (dua).

Beliau berkata lima syarikat berlesen dibenar menjalankan operasi pengeluaran pasir di Selangor manakala satu syarikat dibenar menjalankan aktiviti perlombongan pasir iaitu KSSB.

Jumlah pendapatan kerajaan negeri berkaitan industri pasir di Selangor dari 2008 hingga 2015 ialah RM103.1 juta dengan jumlah kutipan royalti pasir meningkat daripada RM7.1 juta pada 2008 kepada RM24 juta pada 2015.

Semasa manjawab soalan Mohd Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat), menteri besar itu berkata kerajaan negeri mengambil beberapa langkah mengekang aktiviti kecurian pasir di negeri itu termasuk menjalankan operasi statik di kawasan ‘hotspot’ kecurian pasir.

Selain itu, pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan bersepadu bersama polis, Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan, kata Mohamed Azmin. — BERNAMA

Tiada ulasan: