Jumaat, 8 April 2016

'Desas-desus ditukar kuatkan solidari pada MB Johor'

Anne Muhammad  




Dakwaan terdapat gerakan untuk menukar Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanyalah desas-desus yang sengaja dimainkan, kata pemimpin akar umbi Umno negeri.

Timbalan Ketua Bahagian Umno Muar Ismail Tunggak Ahmad menafikan perkara itu dan menegaskan Johor kini aman bawah pentadbiran Khaled.

“Saya baru dengar dan sangat terkejut. Berita ini tidak betul dan Datuk Seri Khaled pun OK di sini.
“Ini berita palsulah. Di Johor ini tak ada berita ini pun, Johor tak ada (nak tukar menteri besar), Johor aman sekarang,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Shukur Mohamad, anak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Tan Sri Mohamad Aziz, mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Khaled.

Shukur mendakwa gerakan itu diketuai oleh seorang timbalan menteri yang namanya tidak didedahkan. Di Johor, seramai enam anggota parlimen yang dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim (Muar), Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri (Ledang), Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi (Sri Gading), Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Sadique (Tenggara) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan (Pontian).

Sementara itu, mengulas lanjut Ismail berkata, kenyataan yang dibuat oleh Shukur hanya mahu memecahbelahkan Umno di negeri tersebut.

“Saya tak pasti (kenapa Shukur keluarkan kenyataan) mungkin nak memecahbelahkan, saya tak tahu, saya tak boleh mengesyaki. Saya ingat berita ini palsu,” katanya.

Bagi Ketua Umno Ledang, Datuk Hamim Samuri pula, perkara tersebut sama sekali tidak benar dan hal itu tidak pernah timbul di kalangan Umno Johor.

“Sangat, sangat, sangat tidak betul. Siapa yang timbulkan, (ia) tidak pernah pun timbul, katanya.

'MB yang baik'

Ketua Umno Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali turut menafikan perkara itu dan menegaskan, usaha penyebaran khabar angin itu hanya menguatkan solidariti kalangan akar umbi kepada Khaled.

“Jawabnya memang tak ada. Saya tidak dengar berita dan juga riak di kalangan kepimpinan yang ada yang tidak serasi dengan menteri besar.

“Tetapi ia bagai satu andaian tapi pada saya menguatkan lagi solidariti di kalangan kami dan dukungan kami kepada menteri besar kami,” katanya.

Tambahnya lagi, Khaled merupakan menteri besar yang baik di negeri itu dan beliau turut sama melibatkan ketua-ketua bahagian Umno untuk merancangkan yang terbaik buat negeri itu.

“Kami dilibatkan sama dalam urusan untuk merancang yang terbaik untuk negeri Johor dengan cara Johor bersama gagasan yang ada.

“(Perkara ini dibangkitkan) mungkin ada political stunt tapi pada saya kita tak ambil pusing. Apabila kita mula menuduh kita akan masuk perangkap orang yang mula mengadakan ini semua,” katanya.

Timbalan menteri hadir mesyuarat

Ketua Umno Kulai, Datuk Zainal Abidin Jidin turut menolak khabar angin berkenaan dan sinis berkata “sekiranya nak jatuhkan menteri besar, timbalan menteri tidak akan datang mesyuarat perhubungan”.

“Tak ada pun, timbalan menteri datang mesyuarat perhubungan, kalau nak jatuhkan biasa tak datang, orang Melayu, kalau tak suka dia tak datang.

“Kenyataan Datuk Khaled sokong PM, dan bahagian menyokong perhubungan, cerita luar saja rasanya, kita mesyuarat perhubungan tak ada masalah,” katanya yang menegaskan Khaled merupakan individu popular di Johor.


Tiada ulasan: