Rabu, 6 April 2016

Deklarasi Kedah desak pecat Muhyiddin, Mukhriz

Ambil tindakan tegas terhadap Mukhriz, Muhyiddin
Muhyiddin, Mukhriz


KUALA LUMPUR - Seramai 14 daripada 15 ketua Umno Bahagian Kedah hari ini berikrar menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menandatangani Deklarasi Kedah.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, deklarasi itu turut ditandatangani oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Kedah, termasuk ketua pemuda, ketua puteri dan ketua wanita Umno negeri.

Beliau berkata, deklarasi itu diserahkan kepada Najib sendiri pada pertemuan Umno Kedah dengan Perdana Menteri yang berlangsung kira-kira satu jam di bangunan Parlimen, tadi.

"Kita buat deklarasi ini nak menyatakan kepada orang ramai bahawa Kedah masih bersama perdana menteri.

"Semua wakil rakyat termasuk senator Umno Kedah hadir hari ini bagi menyerahkan Deklarasi Kedah kepada perdana menteri.

"Deklarasi ini kita buat kerana merasakan perlu deklarasi (balas) yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Deklarasi Kedah merupakan komitmen kepimpinan Umno negeri selepas Deklarasi Kelantan diserahkan kepada Najib pada 25 Mac lalu, yang menyaksikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut menandatanganinya.

Selain menyokong Najib, Deklarasi Kedah turut mengutuk sekerasnya dan melahirkan rasa kesal dengan tindakan Mahathir yang bersengkongkol dengan pembangkang dalam Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan perdana menteri.

"Tindakan Mahathir jelas bertentangan dengan amalan dan sistem demokrasi tanpa mempedulikan kesannya kepada rakyat dan negara," kata Deklarasi Kedah itu yang turut diedarkan kepada pemberita.

Umno Kedah juga sebulat suara mendesak kerajaan menamatkan serta-merta semua jawatan disandang oleh mana-mana pemimpin Umno dan BN yang melanggar, menghasut serta merosakkan sistem pemerintahan demokrasi dan Raja Berperlembagaan.

Deklarasi ini juga sebulat suara mendesak Majlis Tertinggi Umno dan Lembaga Disiplin parti memecat ahli-ahli Umno yang terlibat dengan Deklarasi Rakyat, khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kami mengutuk dan mengecam sekerasnya tindakan segelintir pemimpin Umno yang masih memegang jawatan khususnya Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz yang bersubahat dengan agenda pembangkang," kata deklarasi itu lagi.


Tiada ulasan: