Sabtu, 16 April 2016

Debat: KJ tak kisah, 'live' atau tidak

Debat: KJ tak kisah, 'live' atau tidak
Keratan muka hadapan Sinar Harian.
 
 
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu kesediaannya untuk berdebat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kemerosotan prestasi Harimau Malaysia itu dengan satu syarat.

Katanya, perbahasan tersebut perlu ke arah positif bukannya sebagai medan menuding jari dan mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Saya bersedia (debat) terbuka ke tertutup, (secara langsung di) TV ke tidak (langsung) ke, saya sentiasa bersedia dengan siapa pun. Sama ada FAM, TMJ, Tengku Mahkota Pahang, tengku mana-mana...sesiapa sahaja.

[ARTIKEL BERKAITAN: FAM tolak debat, mahu bincang secara tertutup]

"Bahas itu biarlah ke arah positif jangan menyalahkan orang. Kalau perbahasan itu dibuat untuk menyalahkan orang, nak tunjuk dia hebat, maka tidak akan ada kemajuan dalam bola sepak.

"Kalau perbahasan itu ke arah yang positif maka saya percaya akan ada sinar di hujung terowong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara langsung di TV bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak perdebatan terbuka dengan TMJ sebaliknya bersedia mengadakan perbincangan secara tertutup.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau menerima debat itu dengan TMJ namun menurutnya pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak mengiktiraf beliau.

"Saya tidak pastilah sebab nak bahas ini kena dengan orang yang kita rasa ada 'value'. Namun TMJ kata beliau hanya iktiraf Lim Teong Kim (Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara) sahaja sebagai orang yang faham bola sepak. Tapi (TMJ) nak bahas dengan saya, saya tidak ada masalah cuma beliau tidak iktiraf saya jadi tiada 'point' nak bahas.

"Namun saya akan sedia bahaslah sebab saya tak naklah orang kata saya tak nak bahas dengan beliau.
Saya akan bahas tapi sejauh mana beliau menganggap bahas itu positif, saya tidak pasti kerana beliau hanya iktiraf Lim Teong Kim sahaja. Tapi Lim Teong Kim adalah staf saya, jadi, secara tak langsung beliau ngaku saya ambil keputusan yang baik. Itu logiknyalah," katanya.


Tiada ulasan: