Ahad, 17 April 2016

'Debat bola boleh tapi TMJ tak iktiraf saya'

N Faizal Ghazali

 


Tidak penting terbuka atau tertutup Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar‎ sudah bersedia untuk berbahas atau berbincang dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ).

Lebih daripada itu Khairy juga berkata dia tidak kira jika majlis itu disiarkan secara langsung oleh televisyen atau sebaliknya.

"Tertutup atau terbuka, ada di televisyen atau tidak, saya sentiasa bersedia," katanya kepada media di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, cadangan perdebatan atau perbincangan tersebut sepatutnya dilakukan dengan orang yang dirasakan "ada nilai".

"Saya tak pastilah, sebab nak bahas ini kena dengan orang yang kita rasa ada nilai, tetapi TMJ kata dia hanya iktiraf Lim teong Kim (Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara) sebagai orang yang faham bola sepak.

"Jadi nak bahas dengan saya tak ada masalah, tapi dia (TMJ) tak iktiraf saya. Saya tak mahu orang kata saya tak nak bahas.

"Saya bersedia (berbahas) tetapi sejauh mana beliau menganggap perbahasan itu positif, saya tak pasti sebab dia hanya iktiraf Lim Teong Kim," jelasnya.

Bagaimanapun tambah Khairy, Tunku Ismail secara tidak langsung mengakui langkah beliau mengambil Lim sebagai kakitangannya sebagai keputusan yang baik.

Sedia bila-bila masa

Menurut Ketua Pemuda Umno itu, perbahasan yang dimaksudkan mahu diadakan itu perlu untuk membincangkan prestasi bola sepak negara.

Justeru, katanya, dia sedia memenuhi pelawaan TMJ Tengku Ismail Sultan Ibrahim pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

"Siapa nak bahas saya bersedia, sama ada FAM ke, Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga presiden FAM), TMJ - sesiapa saja atau tengku-tengku pun," katanya pada sidang media berkenaan.

Terdahulu Khairy merasmikan program Kupas Buku anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Pada 13 April lalu Tunku Ismail mencabar Khairy untuk berdebat mengenai prestasi bola sepak negara.

Ajakan itu, kata Tunku Ismail, dibuat sebagai individu yang telus dan jujur serta tidak berminat untuk menjadi presiden FAM, manakala bola sepak tidak menjadi sumber pendapatannya.

Malah menurut pemilik JDT itu, sesi perbahasan berkenaan juga diharap dapat disiarkan secara langsung melalui syarikat penyiaran berbayar Astro.

Ditanya mengenai perkara yang perlu dibahaskan, Khairy berkata ia perlu menjurus ke arah kesan positif dan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.

"Kalau perbahasan itu dibuat untuk menyalahkan orang, untuk tunjuk dia hebat dan menyalahkan pihak-pihak tertentu, maka tidak akan ada kemajuan dari segi bola sepak.

"Tapi kalau perbahasan itu ke arah ‎yang positif maka saya percaya akan ada sinar di hujung terowong," jelasnya.


Tiada ulasan: