Jumaat, 15 April 2016

Debat: Arul Kanda sahut cabaran Tony Pua

SINAR HARIAN


Arul Kanda, Tony Pua


KUALA LUMPUR - Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menyahut cabaran Ahli Parlimen DAP Tony Pua untuk berdebat.

"Dengan ini, saya menyahut cabaran itu. Jom kita!" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pua mencabar Arul Kanda menyelesaikan perbalahan antara mereka berhubung isu 1MDB dalam debat melalui televisyen.

Arul Kanda berkata, beliau bersedia untuk bersemuka dengan Pua, walaupun mendapatinya "aneh" apabila seorang "hakim DAP" Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ingin berdebat dengan seorang "defendan" setelah prosiding selesai dan laporan "dwi-partisan, kolektif" PAC dikeluarkan.

Beliau berharap Pua sudah menyemak dengan Dewan Rakyat sebelum membuat cabaran itu "agar tidak termalu untuk kali kedua".

Pada 29 Oktober tahun lepas, debat secara langsung melalui televisyen antara Arul Kanda dan Pua kelihatan sedia untuk diadakan, tetapi tidak menjadi kenyataan apabila speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan anggota PAC itu tidak membuat sebarang kenyataan mengenai 1MDB melalui sebarang medium.

Pendengaran PAC mengenai 1MDB sedang diadakan ketika itu dan Pua mematuhi arahan tersebut.

Arul Kanda berkata, Pua keliru dan bercanggah dalam kenyataannya.

"Beliau tidak pasti sama ada suka atau benci kepada saya. Kata beliau, saya perlu letak jawatan, kemudian beliau juga berkata, saya perlu terus memegang jawatan dan berdebat dengannya.

"Apa yang jelas ialah walaupun beliau hampir secara eksklusif menyoal saya selama dua hari penuh dalam PAC (pendengaran), YB Tony masih mahu menghabiskan masanya yang berkualiti bersama saya.

"Saya tidak akan sekali-kali menafikan YB Tony keseronokan itu," katanya. - Bernama



Tiada ulasan: