Jumaat, 1 April 2016

Dasar pendidikan BN tak konsisten punca tekanan kos sara hidup rakyat

Zairil-Khir-Johari_650x340


Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Adakah dasar pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan UMNO-BN telah gagal apabila Datuk Seri Najib Razak mendakwa tekanan kos sara hidup berpunca daripada taraf pendidikan yang rendah?

Menjawab persoalan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, berkata parti pemerintah wajib bertanggungjawab jika kos sara hidup yang kian tinggi kini dihadapi rakyat adalah akibat daripada pelaksanaan dasar pincang kerajaan UMNO-BN.

Beliau menjelaskan, dasar kerajaan UMNO-BN yang tidak konsisten dalam bidang pendidikan ditambah pula dengan penarikan biasiswa untuk pelajar cemerlang ke luar negara bagi menyambung pelajaran di dalam bidang-bidang khusus yang tidak disediakan di Malaysia adalah punca kepada kemerosotan taraf pendidikan.

“Pada awal tahun-tahun selepas merdeka, asas pendidikan kita seperti mana semua tahu adalah membanggakan, malah kita terkenal dengan sistem pendidikan kita yang cemerlang.

“Namun prestasi telah merosot, khususnya dalam masa 10 hingga 20 tahun yang lalu,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau memberi contoh betapa tidak konsistennya pelaksanaan dasar pendidikan kerajaan BN dalam isu wajib lulus Bahasa Inggeris dan Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS), yang telah merugikan pelajar, malah memberi tekanan kepada guru dan ibu bapa.

“Tetapi apabila kerajaan BN sepatutnya membaiki kelemahan, kepimpinannya lebih suka membebankan guru dan murid serta mengelirukan semua pihak dengan dasar-dasar yang tidak konsisten,” tambahnya lagi,

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri di Parlimen kelmarin berhubung kos sara hidup tinggi yang ditanggung rakyat yang didakwa Najib berpunca daripada tahap pendidikan sebahagian besar rakyat Malaysia yang rendah.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, kajian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menunjukkan bahawa pelajar di negara ini adalah di tahap yang lemah dalam aspek daya pemikiran dan kreatif.

Menurutnya lagi, kedua-dua aspek berkenaan adalah amat penting dan diperlukan dalam perkembangan ekonomi berpengetahuan, namun kerajaan UMNO-BN seakan-akan tidak menyedari hal itu dan berterusan melaksanakan dasar yang menyusahkan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: