Ahad, 17 April 2016

DAP tak akan menang lawan kuasa wang, kata Lim

MALAYSIAKINI




Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bimbang parti itu tidak boleh bersaing dengan baik dalam pilihan raya negeri Sarawak jika politik wang menjadi faktor penentu.

"Jika pilihan raya Sarawak pada 7 Mei akan diputuskan oleh kuasa wang, ia akan menjadi bencana bagi DAP Sarawak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas analisis Malaysiakini hari ini bahawa sekurang-kurangnya lima ahli perniagaan Cina dan jutawan balak akan menjadi calon BN dalam pilihan raya Sarawak akan datang.

Lim merayu kepada pengundi Sarawak untuk mengundi demi penghormatan kepada pemimpin parti itu yang telah banyak melakukan pengorbanan seperti Wong Ho Leng dan Karpal Singh.

"Mereka adalah pemimpin-pemimpin politik yang berbakti kepada prinsip dan hak dan kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri, sama ada dalam mengumpul kekayaan peribadi, kedudukan atau kemuliaan," katanya.

Beliau berkata walaupun tanpa calon jutawan berkenaan, pilihan raya di Sarawak akan menjadi sukar bagi pembangkang.

"Ia akan menjadi hampir satu misi mustahil untuk menafikan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri) Adenan Satem mendapat dua pertiga majoriti di dewan undangan negeri kerana HARAPAN perlu menang sekurang-kurangnya 28 kerusi dewan undangan negeri," katanya.

Beliau berkata peluang Pakatan Harapan untuk menang juga adalah sukar sekiranya parti-parti dalam gabungan itu bersaing antara satu sama lain dalam pertembungan pelbagai penjuru.

Pakatan Harapan sebelum ini sepakat untuk bertanding dalam pertandingan satu lawan satu dengan BN di Sarawak.

Bagaimanapun, PKR Sarawak tidak bersetuju dengan keputusan itu dan berkeras untuk bertanding di lima kerusi yang ditandingi DAP. Lima kerusi itu ialah Dudong, Palawan, Pujut, Tanjong Batu dan Repok.


Tiada ulasan: