Ahad, 17 April 2016

DAP: Strategi Rahman elak debat dengan Lim

MALAYSIAKINI




DAP kesal dengan keputusan TV3 membatalkan debat antara Lim Guan Eng dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung isu pembelian banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang dan tanah di Taman Manggis.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook berkata alasan TV3 untuk membatalkan debat tersebut kerana menghormati pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat memberi keyakinan kepada orang ramai.

"Alasan Datuk Abdul Rahman Dahlan pula bahawa beliau tidak boleh mengingkari arahan daripada ketua polis negara dan SPRM kerana beliau adalah menteri kabinet dilihat sebagai “exit strategy” untuk mengelak daripada debat ini untuk tidak memberi ruang kepada Guan Eng membalas dan menjawab tuduhan-tuduhan liar beliau melalui media arus perdana khususnya TV3," katanya.

Semalam Khalid dilapor berkata debat bekrenaan akan menggagu siasatan dan prejudis terhadap kes itu sekiranya diteruskan.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki sementara itu dipetik dalam laporan berita hari ini menegaskan badan anti-rasuah itu akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa tekanan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Loke Siew Fook berkata Rahman diberi masa selama satu jam melalui program Soal Jawab di TV3 pada 30 Mac lalu untuk melemparkan pelbagai 'tuduhan liar' terhadap Guan Eng.

"Ini tidak termasuk laporan-laporan berat sebelah dalam isu ini yang dipaparkan dalam Buletin Utama hampir setiap malam dalam beberapa minggu yang lepas.

"Apakah ini tidak menggangu siasatan pihak berkuasa? Apakah ini tidak prejudis? Mengapakah Datuk Rahman Dahlan diberikan kebebasan mutlak untuk “membicarakan” Guan Eng melalui siaran TV3?," soalnya.


Tiada ulasan: