Isnin, 4 April 2016

DAP kecewa penculikan rakyat Malaysia oleh lanun Filipina masih berlaku di perairan Sabah

esscom_sabah

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP kecewa, sedih dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden penculikan empat rakyat Malaysia oleh lanun Filipina dilengkapi senjata di perairan Sabah baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata insiden malang itu mengingatkan rakyat Malaysia khususnya ahli keluarga mangsa culik dari Sarawak itu bahawa perairan negara di Sabah dan sekitarnya masih tidak selamat.

“Meskipun semua langkah keselamatan diambil Kerajaan Persekutuan dengan mengeluarkan ratusan juta peruntukan, malah dikunjungi menteri, rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah berasa marah kerana kita tidak berdaya dan tidak berkesan mengekang penculikan dan pencerobohan berdarah pengganas, lanun Filipina.

“Rakyat Sabah dan pengunjung sudah tentu tidak berasa selamat selagi kerajaan Malaysia tidak mampu mengekang tindakan tidak bertamadun dan kejam oleh penceroboh ini,” katanya.

Persoalannya, sampai bilakah kerajaan harus menunggu untuk menghentikan segala pencerobohan ke atas kedaulatan dan ancaman terhadap keselamatan negara, soal Ahli Parlimen Bagan itu.

“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara. Oleh itu, DAP menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengambil semua langkah untuk membebaskan keempat-empat mangsa culik itu meskipun terpaksa melibatkan wang.

“Buat saat ini, kita bersama dengan ahli keluarga mangsa yang sudah tentu terkesan dengan insiden ini.
“Tiada kata yang dapat mengurangi kesedihan dan ketakutan mereka terhadap keselamatan mangsa. Doa kita semoga mereka selamat kembali ke pangkuan keluarga,” ujar Guan Eng.

Pada 1 April lalu, empat rakyat Malaysia dari Sarawak telah diculik dipercayai oleh lapan lanun bersenjata di perairan Semporna ketika pelayaran balik dari Filipina ke Malaysia sekitar 7 malam.

Mangsa yang terlibat ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21. Kejadian berlaku berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah.

Jung Hien adalah sepupu Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, pihaknya masih mengumpul maklumat bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Pada 7 Mac 2013, Pusat Kawalan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan mengukuhkan lagi keselamatan perairan Sabah susulan insiden pencerobohan berdarah pengganas Sulu di Lahad Datu.

Namun, agensi keselamatan itu sering mendapat kecaman hebat rakyat apabila insiden pencerobohan dan penculikan terus berlaku.

Pada 27 Ogos tahun yang sama, sembilan nelayan diculik di Pulau Mabul. Tiga bulan kemudian seorang warga Taiwan ditembak mati dan isterinya diculik di Pulau Pom Pom, begitu juga dengan insiden di Pulau Singamata serta insiden-insiden serupa berlaku sekitar kawasan ESSCOM.

Pada 14 Mei 2015 pula, dua warga Malaysia diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di Restoran Ocean King, Sandakan. Mangsa adalah Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak. Meski Nyuk Fun telah dibebaskan, tetapi Bernard telah dipancung.

ESSCOM mendapat peruntukan hampir RM700 juta dengan suntikan tambahan RM75 juta dalam Bajet 2014 termasuk RM11 juta untuk baik pulih 65 pos keselamatannya. Pada tahun ini, agensi itu mendapat anggaran perbelanjaan sebanyak RM16.4 juta. – Roketkini.com


Tiada ulasan: