Ahad, 17 April 2016

DAP cabar kerajaan Perak pamer 40,637 rumah mampu milik

MALAYSIAKINI




DAP hari ini mencabar kerajaan Perak mempamerkan 40,637 unit rumah mampu milik yang didakwa telah dan akan dibina di negeri itu sejak 2013 sehingga kini.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara dari 2012 hingga 2014, terdapat 4341 permohonan rumah mampu milik tetapi hanya 240 unit dibina dalam tempoh sama.

Beliau mengulas jawapan Exco Perak, Datuk Rusnah Kassim bahawa kerajaan negeri telah membina rumah mampu milik termasuk kos rendah sebanyak 25,679 unit antara Jun 2013 hingga Januari lalu, manakala 14,958 lagi dijangka siap tahun depan.

"Maka adalah amat tidak logik kerajaan kononnya ada membina 40,637 unit rumah rakyat dan rumah mampu milik sedangkan pada hakikatnya permohonan untuk rumah rakyat hanya 4341 orang.

"Laporan Ketua Audit juga menyatakan bahawa kerajaan persekutuan memperuntukkan RM78.15 juta untuk melaksanakan 4 projek perumahan rakyat dalam negeri Perak di bawah RMK-10 tetapi hanya satu projek saja berjaya siap mengikut waktu iaitu di Simpang Perdana, Changkat Jering, manakala baki 75 peratus projek itu gagal menepati masa yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan media.

Rusnah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak semalam dilapor berkata kerajaan negeri sudah melepasi sasaran awal jumlah pembinaan rumah mampu milik, termasuk kos rendah di negeri itu.

Beliau juga berkata sejak Jun 2013 hingga Mac lalu, sebanyak 3,552 unit rumah kos rendah telah dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dan melalui Program Perumahan Rakyat (PPR).

Rusnah menjawab dakwaan Nga bahawa dalam tempoh lapan tahun dari 2008 hingga 2015, Perak hanya membina 871 unit rumah kos rendah manakala tiada rumah kos rendah dibina sejak 2012 hingga 2014.


Tiada ulasan: