Ahad, 3 April 2016

Dahulukan pemandu teksi: PERS1M

Teksi
Gambar hiasan


SHAH ALAM – Kerajaan harus mewujudkan sistem kuota dengan mendahulukan pemandu teksi dalam membuat sebarang keputusan berkenaan isu membabitkan golongan tersebut.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain berkata, tidak boleh ada dua perkhidmatan, ibarat teksi menentang kereta sapu (Uber dan GrabCar).

“Sekiranya kerajaan mahu meneruskan perkhidmatan  Uber dan GrabCar, kerajaan perlu memastikan mereka mematuhi segala syarat-syarat termasuk menyediakan perlindungan insurans demi menjamin keselamatan setiap penumpang.

“Sistem kuota yang diwujudkan itu perlu mendahulukan pemandu teksi sedia ada. Mereka boleh  memulangkan teksi dan menggunakan kereta persendirian bagi perkhidmatan Uber dan GrabCar,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa pengguna pilih Uber bukan teksi?]

Katanya, pemandu teksi adalah sebuah kerjaya tetap mereka, berbeza dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar yang mana ia hanya melakukan sebagai pekerjaan separuh masa.

“Perlu diingat pemandu teksi terbeban dengan  pelbagai kos termasuk kos operasi, bayaran sewa dan pelbagai kos lain. Berbeza dengan pemandu Uber dan GrabCar,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berjanji akan menyelesaikan isu membabitkan pemandu teksi secara adil dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Kamarudin berkata, pihaknya bagaimanapun menyambut baik kesudian pemimpin itu melihat permasalahan  pemandu teksi dan berharap keputusan yang bakal diumumkan baik untuk industri teksi tanah air.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, Kamarudin berkata, tiada masalah untuk pihaknya menggunakan aplikasi sama seperti perkhidmatan Uber dan GrabCar.

“Pemandu teksi tidak pernah membantah sebarang penggunaan teknologi, tetapi sekiranya aplikasi sama diwujudkan kerajaan bagi perkhidmatan teksi sudah pasti operasi teksi lebih baik,''  katanya.


Tiada ulasan: