Selasa, 5 April 2016

Copgate: K’jaan, SPRM nyatakan kesal terhadap peguam

MALAYSIAKINI




Dua tuntutan saman berjumlah RM97 juta yang difailkan peguam Rosli Dahlan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan berhubung pendakwaan dan penahanannya secara salah selesai, selepas peguam itu menarik balik samannya hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membatalkan saman berkenaan tanpa kebebasan untuk Rosli, selaku plaintif memfailkan semula saman tersebut.

Rosli menarik balik kedua-dua saman yang juga dikenali sebagai isu 'skandal Copgate' selepas pegawai penyiasat SPRM, SAC Saiful Ezral Ariffin, mewakili semua defendan membacakan pernyataan secara terbuka di mahkamah hari ini bagi menyatakan kekesalan mereka berhubung kejadian yang berlaku.

Dalam pernyataan itu, SPRM memutuskan kes itu tidak perlu dipanjangkan dan tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara untuk dipertahankan berikutan kematian Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais dan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada 2015.

"Maka, SPRM dan kesemua defendan dengan ini menyatakan penyesalan kami atas kejadian yang menimpa Rosli.

"Kedua-dua plaintif dan defendan bersetuju bekerjasama dan berakujanji menegakkan keluhuran undang-undang dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia," katanya.

Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan 14 saksi plaintif dan enam saksi defendan dan hari ini kes itu ditetapkan untuk sambung bicara.

Pada 16 Sept 2009, Rosli memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap 17 defendan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Pengarah Penyiasatan dan Pendakwaan Datuk Anthony Kevin Morais serta beberapa pegawai kanan jabatan itu berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya kerana gagal menyatakan maklumat mengenai asetnya.

Satu lagi saman fitnah RM47 juta difailkan pada 22 Nov 2013 terhadap 13 defendan termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Abu Kassim dan SPRM atas dakwaan, mendakwanya secara salah.

Dalam kedua-dua saman itu, Rosli antara lain mendakwa defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM (dahulunya Badan Pencegah Rasuah - BPR) serta mendakwa SPRM memutuskan untuk mendakwanya meskipun beliau menawarkan untuk memberi butiran yang diperlukan secara bersumpah.

Beliau mendakwa tindakan defendan telah menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.

Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Dis 2010.

Peguam Chetan Jethwani mewakili Rosli manakala peguam Rishwant Singh mewakili SPRM dan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan bertindak bagi pihak kerajaan.

Rosli ketika ditemui pemberita memuji tindakan SPRM yang menunjukkan keberanian dari segi moral dan integriti untuk membetulkan keadaan dengan memberi kenyataan di mahkamah.


Tiada ulasan: