Isnin, 11 April 2016

Ceramah UTeM dibatal, Zakir Naik boleh ke Perlis

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


SHAH ALAM - Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi tawaran kepada pendakwah dari India, Dr Zakir Naik untuk menyampaikan ceramah di Perlis sekiranya program ceramah beliau di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dibatalkan.

Asri menerusi akaun Facebooknya berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan ia telah dipersetujui Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Alhamdulillah, saya telah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perlis untuk menjemput Dr Zakir Naik ke Perlis.

[ARTIKEL BERKAITAN: Syarahan umum Dr Zakir di UTeM dibatalkan]

“Oleh itu, jika ceramah beliau di Melaka digagalkan, Insya-ALLAH Perlis terbuka untuk beliau. Saya sudah bercakap dengan penganjur dan menunggu perkembangan seterusnya,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi tadi dilaporkan membuat kenyataan membatalkan program Zakir di UTeM atas faktor keselamatan.

Zakir dijadualkan akan berada di UTeM bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam' Ahad ini.


Tiada ulasan: