Isnin, 18 April 2016

Bukan Islam jangan campur urusan Islam – Ridhuan Tee

 
Islam merupakan agama Persekutuan dan keistimewaan agama tersebut harus diiktiraf oleh semua warga di negara ini.


Ridhuan-Tee-Zakir-Naik


PETALING JAYA: Penceramah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan agar masyarakat bukan Islam di negara ini tidak mencampuri urusan agama Islam.

Menurutnya, Islam merupakan agama Persekutuan dan keistimewaan agama tersebut harus diiktiraf oleh warganegara Malaysia.

Hal ini kerana, menerusi ajaran yang diamalkan di negara ini, penganut agama bukan Islam berada dalam keadaan selamat. Baginya, ajaran Islam telah melembutkan hati Melayu untuk menerima kehadiran penganut bukan Islam.

“Ajaran Islam telah mendidik dan melembut hati Melayu untuk menerima bukan Islam di negara. Ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara lain. Bilangan yang diterima begitu ramai. Kenapa tidak disyukuri nikmat ini sehingga menjadi sangat ultra kiasu,” soalnya.

Menulis di dalam kolum `Buka Minda’ di akhbar Sinar Harian, Mohd Ridhuan juga menegaskan bahawa umat Islam di negara ini tidak pernah mencampuri urusan dan hal ehwal penganut bukan Islam.

“Pernahkah kami ambil tahu atau pergi masuk ke dalam rumah ibadat dan kuil-kuil mereka serta menyiasat apa yang ada di sana. Jawabnya tidak, kerana kita terlalu bersangka baik. Di India, kutipan atau derma kuil dipantau oleh kerajaan dan boleh menjadi hak milik kerajaan,” katanya.

Beliau yang turut mengulas mengenai kehadiran penceramah terkemuka, Dr Zakir Naik ke Malaysia apabila menyifatkan larangan untuk penceramah itu memasuki ke sesetengah negara adalah perkara biasa.

“Dr Zakir seorang yang diiktiraf bukan hanya peringkat nasional tetapi antarabangsa. Malaysia turut mengurniakan kepada beliau Tokoh Maal Hijrah 2013. Soal beliau tidak dibenarkan masuk ke beberapa negara seperti Singapura, itu adalah perkara biasa. Saya pun tidak dibenarkan masuk ke sana.

Tidak terhenti di situ, Mohd Ridhuan turut mendakwa ada sesetengah bukan Islam merasakan agama mereka terancam ekoran ramai yang memeluk Islam selepas berdialog dengan Dr Zakir. Ia berlaku kerana, Dr Zakir hanya menceritakan perkara sebenar.

“Jika tidak bersetuju dengan Dr Zakir, berdebatlah dengan beliau. Saya amat yakin beliau akan menerima dengan penuh hikmah. Mengaku sahaja, tidak ada seorang tokoh agama di dunia ini yang boleh menghafal kitab mereka, kecuali agama Islam.

“Jika ditakdirkan semua kitab agama besar dunia dimusnah atau dicampak ke laut, saya pasti semua agama akan musnah dan hilang, kecuali Islam kerana walaupun al-Quran tidak berada di tangan, al-Quran akan tetap terpahat dalam minda para ulama dan para huffaz. Al-Quran boleh ditulis balik seperti sedia kala,” ujarnya.

Tiada ulasan: