Ahad, 3 April 2016

Bukan haiwan menceroboh; kita yang ceroboh habitatnya!

 
Kerakusan manusia yang mengejar pembangunan telah mengakibatkan haiwan menjadi mangsa tetapi kita selalu ada cara untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.
 
 
 
lpt-2


Membaca satu laporan mengenai inisiatif kerajaan yang akan menambahbaik ciri-ciri laluan di bawah jambatan dan terowong kenderaan (VBC) di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) supaya mesra hidupan liar amatlah dialu-alukan.

Ia ternyata satu usaha yang sangat baik dan patut dicontohi oleh semua pihak termasuk pengendali lebuhraya.

Cuma saya tidak setuju dengan laporan yang menyatakan inisiatif ini diambil untuk menghalang pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar sebaliknya saya fikir ia sebagai langkah pembetulan terhadap kesilapan dan kerakusan manusia yang sebanarnya menceroboh habitat haiwan ini dengan membina lebuhraya ataupun apa sahaja pembangunan.

Jadi, saya ulangi tolong jangan guna perkataan haiwan menceroboh kerana bukan haiwan tetapi kita, manusia yang ceroboh tempat tinggalnya!

Bagi saya dan saya percaya semua orang yang mempunyai empati terhadap haiwan akan menyambut baik berita ini.

Sepatutnya pihak berkuasa sama ada kerajaan atau pihak pengendali lebuh raya haruslah meletakkan pertimbangan untuk melindungi haiwan khususnya haiwan liar yang semakin hari masuk senarai pupus terlebih dahulu sebelum tampil dengan cadangan membina jalan.

Ikutkan memanglah kita manusia tidak boleh mengasingkan haiwan khususnya haiwan besar seperti harimau, gajah, tapir dan sebagainya. Ini kerana haiwan-haiwan ini memerlukan ekosistem yang sihat dan cukup keluasan untuk bermandirian.

Apabila mereka dipisahkan oleh lebuhraya, maknanya kehidupan haiwan-haiwan ini terancam..makanan mungkin tak mencukupi apatah lagi membiak? Lama-lama, terpupuslah jawapannya!

Kita harus faham bahawa semua haiwan ini mempunyai ‘range’ tertentu untuk ke sana ke sini dan jika ia diabaikan, maka terancamlah mereka.

Sumber makanan utama mungkin di sebelah sana, sedangkan dia di sini. Begitu juga pasangannya.

Bagaimanapun, kesilapan telah berlaku dan kemalangan yang disebabkan oleh haiwan liar termasuk membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir adalah harga yang kita bayar sebagai pengajaran dan pembelajaran untuk mengambil inisiatif berikut.

Eloklah sekurang-kurangnya sekarang kerajaan mengambil inisiatif dan jaminan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini termasuk apabila ia dipersetujui bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu tampil dengan satu penyelesaian yang wajar, sama seperti yang dilakukan orang negara-negara jiran kita.

Oh ya, ketika membuat laluan haiwan nanti, eloklah buat pada ketinggian yang wajar supaya ia sekali gus boleh juga menarik pelancong dan menjana pendapatan tambahan kepada negara.

Bravo dan semoga inisiatif ini terus tersebar kepada semua pihak yang lain dan kita lebih mesra kepada haiwan-haiwan ini kerana salah kita yang ceroboh kawasan dia.

Esok lusa kalau nak buat jalan lagi, elok fikir dahulu kesannya…

Tiada ulasan: