Ahad, 10 April 2016

BN gagal, bawa negara ke arah pengunduran – ADUN DAP

 
Kerajaan BN dibawah pentadbiran Najib telah mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saing di arena antarabangsa.


eddie,najib


PETALING JAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP-Balakong Ng Tien Chee menyelar Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menyatakan hanya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mampu membawa semua kaum termasuk minoriti ke tahap lebih tinggi.

Tien Chee atau lebih mesra dengan panggilan Eddie mendakwa, BN bukan sahaja gagal membawa perkembangan kepada semua lapisan masyarakat mahal, turut membawa negara ini ke arah pengunduran.

“Kelemahan kerajaan BN terutamanya dibawah pentadbiran Najib Tun Razak telah mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saingan di arena antarabangsa.

“Hutang negara yang makin meningkat di bawah pentadbiran Najib telah mencecah RM630.5 bilion. Ini jelas membuktikan kelemahan Perdana Menteri yang paling kontroversi di Malaysia itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, selain tidak mampu untuk menjelaskan secara terperinci skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya, Najib juga menyebabkan semua lapisan masyarakat Malaysia dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu, Eddie turut mencabar Perdana Menteri menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) seluruh negara dari RM720 ke RM1500 seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, beliau khuatir Najib tidak berani untuk menerima cabarannya itu kerana jumlah keluarga di bawah paras kemiskinan akan meningkat dengan mendadak.

Semalam, Najib menegaskan hanya kerajaan BN yang mampu membawa semua kaum termasuk minoriti ke tahap lebih tinggi dengan menyediakan platform bersesuaian buat keperluan mereka.

Beliau berkata dengan bantuan kerajaan, kehidupan semua lapisan masyarakat di negara ini semakin berkembang maju terutamanya dari aspek ekonomi dan sosial sehingga kaum minoriti turut mendapat pengiktirafan dan penghormatan termasuk etnik Telugu.

Tiada ulasan: