Sabtu, 16 April 2016

Biarlah rakyat tentukan PM baru secara demokratik

MALAYSIAKINI




Kumpulan di sebalik Deklarasi Rakyat yang menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, konvensyen demokrasi seharusnya menentukan siapa yang akan menggantikan beliau jika Najib meletakkan jawatan.

Sekretariat kumpulan berkata demikian selepas Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri yang juga arkitek bersama gerakan itu, menyokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggantikan Najib.

"Kami juga kerap kali ditanya siapa akan menggantikan Najib apabila beliau berundur.

"Konsisten dengan konvensyen demokrasi, sekretariat secara jelas dengan pendiriannya mengenai individu yang mengambil alih daripada Najib adalah di kalangan yang mendapat majoriti keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Katanya, individu yang mengambil alih harus membanteras rasuah, mengembalikan kebebasan institusi dan pemerintahan berdasarkan perundangan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Jika individu tersebut gagal untuk mempertahankan syarat-syarat ini, Deklarasi Rakyat akan menyemak semula kempennya," tambahnya.

'Memalukan di peringkat global'

Kumpulan itu berkata, dakwaan salah laku Najib terus 'memalukan' rakyat dan meletakkan Malaysia di hala tuju yang salah.

Rakyat Malaysia telah berdepan laporan negatif dalam media antarabangsa mengenai dakwaan skandal pentadbiran setiap hari, jelasnya.

"Rakyat Malaysia dimalukan dan diejek sehinga terpaksa menderita ekoran kepimpinan beliau setiap hari adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi," katanya.

Oleh itu, kumpulan tersebut akan meneruskan ceramah dan perjumpaan bagi mengumpulkan tandatangan petisyen mendesak Najib berundur.

Malah rakyat juga dialu-alukan untuk menanda tangani secara online.

Terdahulu, kumpulan berkenaan berharap dapat mengumpul sejuta tandatangan dan mempersembahkannya kepada Yang Dipertuan Agong untuk tindakan selanjutnya.

Najib telah menafikan dirinya menyalah gunakan dana awam dan telah dilepaskan oleh Peguam Negara.


Tiada ulasan: