Sabtu, 23 April 2016

Berpolitik jangan sampai 'mengejek' Allah

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa kaedah statistik bukan semuanya boleh ditentukan kepada ajaran Islam kerana ia tidak sama kaedah hisab di hari akhirat. 
 
“Kadang-kadangnya 100 peratus tolak satu peratus menjadi kosong, bukannya 99 peratus…Al Quran menegaskan betapa di akhirat itu mensyaratkan iman yang ikhlas tanpa syirik  dan wajib mengikhlaskan niat keranaNya,” kata Hadi. 
 
Beliau memberi komentar terhadap usaha kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan Indeks Syariah bagi memastikan betapa tahap pencapaian maqasid syariah. Inti Indeks Syariah itu, tegasnya, adalah keikhlasan. 
 
Bagaimanapun baik PAS mahupun Umno kini terpanggil memberi respons terhadap saranan pakar perbandingan agama, Dr Zakir Naik supaya bekerjasama dan menubuhkan kerajaan perpaduan demi umat dan maruah Islam. 
 
Malangnya buat kesekian kalinya jawapan yang diberikan pemimpin kedua-dua parti agak standard dan tidak menunjukkan keghairahan membincangkan secara tuntas bidang dan pendekatan kerjasama yang boleh dilakukan. 
 
Umno dan PAS mempunyai ideologi dan pendekatan politik yang agak berbeza. Bagaimanapun kedua-duanya mendakwa perjuangan utama masing-masing ialah untuk memperkasa umat  dan memartabatkan Islam di negara ini. 
 
Bagaimanapun sejak lebih enam puluh tahun lalu, kedua-dua parti mengambil tindakan politik yang sama – bergiat untuk mencari perbezaan daripada berusaha untuk mencari titik persamaan sesama mereka. 
 
Kegiatan politik kedua-duanya kadangkala begitu memuncak sehingga ada yang terlalu yakin bahawa “ia lebih muslim daripada pihak yang satu lagi”. Pernah suatu ketika kedua-dua parti saling mencerca iman lawan, sebagai kufur.
 
Cuma untuk tempoh tidak sampai lima tahun, kedua-dua pihak bersetuju untuk berpolitik di atas platform yang sama – Barisan Nasional – agak reda politiking di antara PAS dan Umno ketika itu dan rakyat ternyata lega. 
 
Bagaimanapun apabila berpecah kongsi, pertarungan menjadi sengit kembali. PAS beberapa kali cuba melaksanakan formula kejayaan Umno-BN dengan cuba menghimpunkan parti-parti pembangkang untuk bersama mereka. 
 
Maka wujudlah Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah dan kemudiannya Pakatan Rakyat. Semuanya tidak membuahkan kejayaan mutlak. Kini PAS menjalin kerjasama dengan parti yang belum teruji – Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
Setelah berlaku penghijrahan beramai-ramai pemimpinnya untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN), PAS bangkit semula dengan pemikiran politik yang lebih bening. 
 
Muhasabah diri dilakukan dan PAS kini mahu menjadi kerabat kepada mana-mana pihak yang memperjuangkan Islam. Kali ini fokus PAS lebih jelas. 
 
Meskipun diuja dengan beberapa kesempatan untuk meluaskan pengaruh politiknya, PAS lebih istiqamah dengan dasar-dasar dakwahnya. Yang pertama diislahkan ialah jangan terjebak dengan kilauan kuasa. 
 
Di Terengganu, PAS boleh sahaja menumbangkan kerajaan Umno jika menyokong “pemberontak” Umno yang mahu jatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
Bagaimanapun PAS enggan menjadi oportunis politik – satu pendirian yang amat “kurang disenangi malah dibenci” oleh bekas pemimpin-pemimpinnya yang kini menerajui PAN. 
 
Demi berpegang pada konsep budiman – budaya politik matang sejahtera -- PAS sedia menunggu hingga tamat penggal perkhidmatan Umno memerintah Terengganu sebelum bersaing secara terbuka pada pilihanraya umum 2018. 
 
PAS makin istiqamah. Apabila pihak pembangkang mahu membelakangkan Perlembagaan Negara dengan bertindak menjatuhkan perdana menteri melalui demonstrasi dan petisyen rakyat, PAS menolak. 
 
Pilihanraya Umum 2013 telah meletakkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri. PAS terima keputusan rakyat yang memberi Najib mandat memerintah Malaysia sehingga 2018. PAS sanggup menunggu PRU 14. 
 
“PAS sentiasa berpegang pada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan,” kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan. 
 
Beliau menukilkan ayat al quran: “dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (al Maidah ayat 2). 
 
Namun harapan umat keseluruhannya ialah mahu PAS dan Umno menjalin kerjasama yang lebih menyeluruh, tersusun dan berkekalan. 
 
Mufti Perak, Tan Sri Tan Sri Harussani Zakaria berkata UMNO dan Pas wajib menjalin kerjasama demi kelangsungan Islam di negara ini.
 
Pendakwah, Datuk Mohd Kazim Elias juga menyokong saranan Dr. Zakir memandangkan perkara itu adalah perintah Allah dan Rasulullah supaya bersatu dan bertolong-tolongan atas perkara kebaikan dan ketakwaan.
 
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berkata, hanya penyatuan orang Melayu-Islam selaku masyarakat dominan dapat menjamin kestabilan di negara ini.
 
Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, soal penyatuan antara UMNO dan Pas bukan perkara baru.
 
Malah, katanya, perkara berkenaan  telah dan sedang diusahakan pihak tertentu dalam menguruskan perbezaan dan mencari titik persamaan antara kedua-dua parti itu.
 
Namun ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki masih menganggap cadangan Dr Zakir itu sebagai pandangan peribadi yang perlu dihormati.
 
Beliau menegaskan PAS dan Umno tidak berhasrat bergabung termasuk mewujudkan kerajaan campuran kerana buat masa ini hubungan kedua-dua parti adalah baik dan  kedua-dua parti berakidah yang sama iaitu ahli sunnah wal jamaah. 
 
“ Apa yang penting bukan bersatu dengan maksud membentuk satu entiti hingga perlu meleburkan identiti mana-mana parti. 
 
“Tetapi lebih utama ialah kesediaan untuk bersatu dan bekerjasama memperjuangkan agenda yang sama iaitu memartabatkan Islam dan menjaga kepentingan umat Melayu. 
 
Harapan umat ialah, ucapan-ucapan pemimpin PAS dan Umno bukan sekadar retorik. Seharusnya mereka insaf akan amaran Allah: 
 
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah As-saf ayat 4)
 
Namun begitu janganlah objektif yang ditentukan Allah itu dijadikan alat atau alasan politik kerana amaranNya cukup keras:
 
“Wahai orang-orang yang beriman kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan.
 
“Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As-saf ayat 2 dan 3). 
 
Berpolitik ada hadnya. Jangan sampai mengejek Allah. Berusahalah mencari titik persamaan. Jangan perbesarkan perbezaan. Tunaikan ikrar mahu bekerjasama. Bukan bercakap hanya untuk menjaga hati pengundi. Bersatulah kerana Allah.
 
 

Tiada ulasan: