Isnin, 4 April 2016

Pemuda BN S'wak diminta sokong calon pilihan Adenan

BERNAMA





Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak diminta agar menerima keputusan pemilihan calon oleh BN Negeri pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) akan datang.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan kepimpinan tertinggi BN perlu diterima dengan hati terbuka dan memberikan sokongan padu kepada calon-calon dalam pasukan Adenan.

"Kalau diumumkan sahaja siapa calon BN, calon itu mesti kita dekati dan sokong penuh supaya BN dapat menang dengan majoriti besar," katanya ketika berucap di pelancaran Armada Pemuda BN Zon Sibu - Misi Kemenangan di Dewan MUC, di Sibu semalam.

Hadir sama, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee.

Fadillah, yang juga menteri kerja raya, berkata kemenangan dengan majoriti besar pada PRN kali ini perlu bagi memastikan Adenan dapat membawa suara yang kuat ke peringkat kerajaan persekutuan.

Katanya dengan kemenangan dengan majoriti besar akan memberi manfaat besar kepada negeri dan rakyat Sarawak kerana akan dapat menikmati lebih banyak lagi pembangunan yang disalurkan oleh ker
ajaan pusat.
Kemenangan besar BN pada PRN-11 adalah isyarat kepada pembangkang seperti DAP, PKR, PAS dan AMANAH bahawa majoriti rakyat Sarawak tidak menerima dan menyokong mereka, katanya.

Beliau berkata Pemuda BN Sibu perlu mempertahankan kerusi DUN Nangka dan DUN Bawang Assan dengan majoriti besar di samping merampas kembali tiga kerusi BN yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya negeri lepas iaitu Dudong, Pelawan dan Bukit Assek.- Bernama


Tiada ulasan: