Isnin, 18 April 2016

Berhutang atau jimat? Ini 3 nasihat AKPK untuk pengguna

Malik Ridhwan, Astro Awani
Berhutang atau jimat? Ini 3 nasihat AKPK untuk pengguna
Azaddin (Kiri) bersama Pengarah Urusan Bahagian Perkhidmatan Koporat AKPK Azman Hasim semasa sidang media sempena ulang tahun AKPK ke-10. - Gambar Astro AWANI / Malik Ridhwan
 
 
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan melihat kepada keadaan ekonomi semasa.

Ini bagi mengelakkan individu daripada mempunyai hutang yang tidak diperlukan.

Berikut tiga nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pengguna agar tidak dibelenggu hutang yang membebankan.

1. Buat perancangan yang rapi

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata, pengguna harus  merancang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.
“Kita menyeru orang ramai supaya merangka bajet isi rumah terlebih dahulu, bagaimana menguruskan perbelanjaan sebelum mengambil pinjaman daripada bank."

Azaddin Ngah Tasir
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK

AKPK memberi kaunseling kepada pelanggan secara perseorangan dan bersemuka di mana kaunselor akan memberi khidmat nasihat kewangan termasuk tentang bajet, pengurusan wang dan isu-isu kredit.

Antara lain, AKPK membantu pelanggan menganalisis status kewangan serta mengenal pasti jalan-jalan pilihan untuk memulihkan kedudukan kewangan mereka.

2. Tunggu dan lihat, jangan terburu-buru

“Dalam waktu begini, saya rasa ramai yang akan wait and see. Orang akan lihat dulu perkembangan ekonomi semasa sebelum membeli rumah sebagai contoh dan kemudian buat keputusan untuk memberi komitmen atau tidak,” kata Azaddin selepas sidang media ulang tahun AKPK ke-10 di ibu pejabatnya di sini pada Jumaat.

3. Belajar cara pengurusan kewangan

Kad kredit merupakan faktor utama pengguna dibelenggu hutang yang membebankan. Ini kerana mereka tidak sedar akan risiko jika tidak bijak menggunakan kad kredit.

Justeru, AKPK menyarankan agar orang ramai belajar mengenai pendidikan kewangan dan mendapatkan kaunseling daripada agensi tersebut.

AKPK menyediakan program-program pendidikan kewangan tentang asas-asas pengurusan wang yang bijak serta tip meminjam dan penggunaan kredit secara bertanggungjawab terutamanya kepada golongan dewasa muda.

Ia antara lain menawarkan nasihat tentang pelan pembayaran balik bersesuaian dengan komitmen dan situasi semasa pelanggan bagi meringankan beban mereka.
Sejak penubuhan AKPK sehingga 31 Mac 2016, lebih daripada 418,941 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK di mana 148,830 daripada mereka telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK).

Daripada jumlah ini, 9,937 kes berjaya diselesaikan dari PPK dengan jumlah pinjaman agregat bernilai RM407.9 juta. Sebahagian besar lagi peserta PPK masih lagi aktif membuat pembayaran balik hutang mereka yang telah distruktur atau dijadual semula.

Bagi keseluruhan 2016, Azaddin mensasarkan tambahan 2,500 atau 10 peratus lagi kes untuk diselesaikan menjelang hujung tahun. 


Tiada ulasan: