Khamis, 14 April 2016

Belum dipentaskan, teater atas pokok Dinsman 'dipangkas'

HAZAYANI ZAKARIA


Dinsman membuat persiapan bagi pementasan teater atas pokok arahannya.Dinsman membuat persiapan bagi pementasan teater atas pokok arahannya.


Aku terluka. Parah
Darah menyembur ke muka
Pokokku dilukai. Parah.
Dipangkas dahannya
Bagaimana aku meniti
Mana mungkin aku bergayut?
Aku terluka
Darah menyimbah
Aku menangis
dan aku menjerit
Pokokku dilukai
Poster mempromosikan 'Teater Atas Pokok' arahan Dinsman.Poster mempromosikan 'Teater Atas Pokok' arahan Dinsman.
Demikian bait-bait puisi pengarah dan penulis skrip Teater Atas Pokok (TAP), Shamsudin Othman selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatas beberapa dahan pokok Angsana, sepuluh hari menjelang pementasannya.

Akibat tindakan MBSA yang tidak berbincang dengan beliau terlebih dahulu, Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Dinsman mengakui sangat kecewa dan hampir memutuskan untuk membatalkan pementasan TAP.

MBSA memberi alasan tindakan itu bagi memudahkan audiens menonton TAP.

“Dua hari saya tak buat-buat apa. Latihan skrip saya tinggalkan, saya sangat kecewa. Setiap dahan itu ada falsafahnya. Akibat beberapa dahan dicantas, banyak kerja-kerja teknikal yang terpaksa kami ubah.

“Ketika itu saya memutuskan untuk membatalkan pementasan teater ini. Tapi lepas berfikir kesannya dan dorongan kawan-kawan, saya teruskan juga,” ceritanya ketika ditemui di Kedai Kopi Taman Tasik Shah Alam, berhampiran lokasi TAP akan dipentaskan.

Kapitalisme merosakkan kemanusiaan. Itu antara mesej penting yang ingin disampaikan Dinsman melalui TAP.

Dalam TAP, pokok merupakan simbol kepada sebuah kampung warisan di ibu kota, Kampung Banda Dalam, Gombak yang berdepan dengan ancaman kemusnahan bagi tujuan pembangunan.

Malah, Dinsman mengakui TAP didedikasikan kepada penduduk dan pejuang kampung warisan yang semakin pupus akibat kerakusan pihak berkuasa mengejar keuntungan.

Sudah pasti TAP seputar kisah penduduk kampung yang bermati-matian mempertahankan kampung mereka daripada dirobohkan oleh pihak kerajaan dan pihak pemaju yang akan membangunkan kampung mereka dengan bangunan pencakar langit.

Pokok rendang yang bakal dijadikan pentas teater.Pokok rendang yang bakal dijadikan pentas teater.TAP turut mengadaptasi dua puisi karya Sasterawan Negara Usman Awang, “Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” dan “Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar”.

Bercerita perihal idea mementaskan TAP, Dinsman berkata ia adalah ilham yang lahir pada suatu petang, ketika beliau selesai menunaikan solat Asar di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam.

Beliau merenung ke luar jendela dan ternampak sebatang pokok di belakang madrasah lalu terfikir untuk menjadikan pokok sebagai pentas teater.

Dinsman turut mendapat inspirasi dari pelukis Perancis, Christo yang banyak menghasilkan hasil seni yang unik dan di luar kotak.

Menurut beliau, idea itu muncul pada tahun 2014 lagi dan setuju untuk ditaja oleh kerajaan negeri Selangor.

Namun atas sebab-sebab tertentu, baru tahun ini TAP dapat dipentaskan dengan kos lebih RM100,000.

TAP bakal menampilkan lapan pelakon termasuk seniman dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn, empat pelakon tambahan dan dua pemuzik.

Selain itu, TAP turut menggunakan khidmat syarikat perunding keselamatan kerana terdapat beberapa babak yang memerlukan pelakon bergantung di dahan pokok sambil menyanyi dan melontarkan dialog selain duduk di atas buaian yang digantung di dahan pokok.

Alat muzik seperti Marwas iaitu sejenis gendang dan tarian kuda kepang antara seni yang akan dipersembahkan.

“Ada satu babak, saya bagi kebebasan kepada pelakon untuk melakukan apa-apa aksi yang mereka boleh. Waktu inilah mereka berpeluang menunjukkan kebolehan mereka sendiri tanpa arahan saya,” katanya yang telah mengarahkan lebih sepuluh teater termasuk 'Menunggu Kata Dari Tuhan' yang dilakonkan oleh Sabri Yunus.

Dinsman turut mengakui TAP merupakan teater arahannya yang paling mencabar namun para pelakon menunjukkan semangat yang tinggi dan melakukan latihan dengan bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah saya ada team produksi yang sangat memberikan kerjasama yang baik dan sangat bersemangat unttuk menjayakan teater ini,” katanya lagi.

Masuk Malaysia Book of Records

Dinsman juga memberitahu, Malaysia Book of Records telah mengesahkan TAP merupakan teater pertama di Malaysia yang dipentaskan di atas pokok.

Sehubungan itu, Malaysia Book of Records akan menyampaikan sijil pengiktirafan mereka kepada pihak produksi pada hari pertama pementasan iaitu 16 April nanti.

“Mereka dah buat kajian dan mengesahkan ini kali pertama pementasan teater atas pokok di Malaysia,” katanya.

Selain itu, TAP akan turut ditonton oleh penyunting majalah Asian Theater Journal, Prof. Dr. Khaty Foley dari California.

“Beliau sudah sahkan akan datang menonton teater ini dan pada 19 April akan menyampaikan syarahan di Unisel berkaitan pembangunan teater dari perpektif umum.

TAP akan dipentaskan pada 16 dan 17 April, jam 9.00 malam di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam.

Ia dianjurkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Kebudayaan Selangor.

Dinsman berkata, selain memberi kelainan dalam dunia teater, beliau juga berharap TAP dapat membuka mata pihak yang berkaitan agar tidak sewenang-wenangnya menghapuskan kampung warisan demi keuntungan.

“Saya harap pihak-pihak yang terlibat merobohkan kampung warisan tahu kewujudan teater ini dan akan menonton seteruskan sedar akan kepentingan seni warisan kita termasuk kampung-kampung yang sedang terancam,” katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan: