Ahad, 10 April 2016

Bekas pengarah perhilitan bebas tuduhan curi sumbu

Bekas pengarah perhilitan bebas tuduhan curi sumbu
Yusuff memeluk ibunya, Maisarah Silong, 84 selepas Mahkamah Sesyen membebaskan tuduhan ke atasnya, pagi tadi.
 
JOHOR BAHRU - Bekas Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini atas tuduhan mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor pada Oktober tahun lalu.

Hakim, Sabariah Atan membuat keputusan itu selepas Ketua Unit Pendakwaan, Saiful Edris Zainuddin memohon mahkamah menarik balik kes itu terhadap Yusoff Shariff, 47.

Dalam prosiding mahkamah, Saiful memohon menarik balik kes atas alasan mendapat arahan untuk membatalkan kes itu.

Manakala Peguam, Datuk Hanif Hassan memohon mahkamah membatalkan kes serta melepas dan membebaskan anak guamnya.

Sabariah meluluskan pembatalan kes itu dan memerintahkan wang jaminan RM5,000 dikembalikan.

Sebelum ini Yusuff mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke mahkamah sama pada 28 Disember lalu atas dakwaan mengambil sumbu badak yang disimpan di bahagian hadapan Muzium Diraja Johor, Bangunan Sultan Ibrahim tanpa kebenaran sah pada 19 Oktober tahun lalu.

Pada 31 Mac lalu, pihak pendakwaan menghantar represantasi kepada pihak pendakwaan bagi rayuan  membatalkan kes.


Tiada ulasan: