Khamis, 7 April 2016

Batal semua lesen melombong bauksit, wajibkan EIA untuk lesen baru

MALAYSIA DATELINE


fuziah salleh 2fuziah salleh 2Ketika tempoh moratorium (penggantungan) aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan berbaki seminggu lagi, kerajaan digesa membatalkan semua lesen melombong bauksit sedia ada dan mewajibkan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) kepada permohonan baru lesen melombong.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dalam satu kenyataan media berkata, perintah kualiti alam sekitar Ogos 2015 juga perlu dikuatkuasakan ke atas semua lombong sedia ada.

"Dalam tempoh berbaki tujuh hari sebelum tempoh moratorium ke atas bauksit berakhir pada 14 April 2016 warga Kuantan masih belum mendapat kepastian berkenaan dengan nasib mereka.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang diuar-uarkan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pahang masih kabur dan cetek, tidak merangkumi penyelesaian kepada semua aspek pencemaran," ujarnya yang juga pengerusi badan bertindak menentang pencemaran bauksit.
Menurut Fuziah, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa kualiti air sungai di sekitar Kuantan bertambah baik di dalam waktu tempoh moratorium.
Fuziah turut merujuk edaran 'keputusan analisis kimia kualiti air bagi Sungai Riau, Sungai Mabok, Sungai Pinang dan Sungai Balok yang terletak di kawasan aktiviti perlombongan bauksit.

Beliau menambah, oleh kerana undang-undang tidak mewajibkan EIA ke atas lombong-lombong berkeluasan di bawah 250 hektar, maka kesemua lesen lombong bauksit sebelum ini dikeluarkan tanpa memerlukan EIA.

"Apabila perintah kualiti alam sekitar diwujudkan pada bulan Ogos 2015, ianya tetap tidak boleh diguna pakai ke atas lombong yang sedia ada kerana perintah tersebut tidak boleh dipakai ke atas lesen yang dikeluarkan sebelum tarikh tersebut. Maksudnya tidak boleh diaplikasi secara secara retrospektif," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar semua lesen melombong bauksit dibatalkan dan setiap permohonan lesen baru disyaratkan mematuhi EIA.

Menurut Fuziah, ketika aktiviti perlombongan bauksit berjalan, penduduk Kuantan menghadapi kesan pencemaran udara manakala air laut menjadi merah.

Oleh kerana EIA tidak dilaksanakan, tiada mekanisme untuk mengenal pasti impak sebenar industri perlombongan bauksit ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.

"Dengan itu cara yang paling baik untuk memastikan keselamatan penduduk Kuantan adalah untuk melaksanakan EIA ke atas tapak melombong, tapak mencuci bauksit dan juga tapak 'central stockpile'," ujarnya.

Beliau turut menggesa tempoh moratorium dilanjutkan sehingga wujud SOP yang lebih komprehensif melibatkan perlombongan, pemulihan tapak lombong, mencuci bauksit, pengangkutan, menyimpan stokpile sehingga kepada mengalihkan bahan mineral ke atas kapal.

"Juga batalkan lesen melombong sedia ada dan diwajibkan permohonan semula di mana EIA menjadi (syarat) mandatori," tegasnya.

Tiada ulasan: