Sabtu, 23 April 2016

'Bantu hentikan krisis air bagi selamatkan 4 juta penduduk'

MALAYSIAKINI




Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk campur tangan menyelamatkan empat juta penduduk di empat negeri yang bakal terjejas akibat krisis air.

Dalam surat kepada Zahid, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, empat negeri yang terjejas akibat fenomena 'Super El-Nino' itu adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Kami memohon campur tangan Datuk Seri (Zahid), sebagai Pengerusi Majlis Sumber Air Negara (MSAN), bagi mengelak berlakunya krisis yang akan menyebabkan bebanan dan kesulitan kepada rakyat dalam kehidupan seharian dan perniagaan di kawasan ini.

“Kita tidak boleh menunggu untuk krisis berlaku sebelum mengambil tindakan pemulihan.

“Sebaliknya, kami mencadangkan MSAN bertindak selagi masih ada peluang ini untuk mengelakkan krisis air dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan,” kata Lim.

Beliau sehubungan itu, mencadangkan beberapa tindakan di mana menteri dalam negeri boleh campur tangan mulai sekarang sehingga Jun untuk menyelamatkan empat juta rakyat.

Cadangan beliau termasuk menangguhkan aktiviti pengairan di semua negeri, terutamanya di selatan Kedah, sehingga hujan lebat tiba.

“Langkah ini akan mengoptimumkan simpanan empangan sehingga ketibaan hujan,” kata Lim.
Menurutnya, operasi pembenihan awan di Wilayah Utara juga perlu dipergiatkan kerana paras air empangan hanya akan 'pulih' jika terdapat hujan yang mencukupi.

Beliau juga memberi amaran bahawa paras air di empangan - telah menurun sebanyak 70 peratus - mendekati tahap kritikal - fenomena ‘Super El-Nino’ memburukkan lagi keadaan dengan melanjutkan musim kemarau untuk tempoh tiga bulan lagi.

Selain itu, katanya, akhbar melaporkan simpanan air untuk musim kemarau yang terdapat di Empangan Muda dan Empangan Beris di Kedah, dijangka hanya mampu bertahan selama 30 hari lagi.

Manakala, Jabatan Meteorologi pula meramalkan bahawa 'Super El-Nino' akan berlanjutan hingga Jun, kata Lim.

Tiada ulasan: