Ahad, 10 April 2016

Bagan Datoh bakal jadi hab pendidikan

SINAR HARIAN


Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi


BAGAN DATOH - Penekanan berterusan diberikan kepada bidang pendidikan di Bagan Datoh dalam  usaha menjadikan daerah kecil ini satu daripada hab pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru itu, katanya pelbagai perancangan dan usaha giat dilakukan untuk merealisasikan matlamat itu setelah ia mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita mahu komitmen ini, yang Perdana Menteri setuju supaya dimartabatkan Bagan Datoh sebagai tempat punca kemakmuran, dapat direalisasikan.

"Untuk kita berada dalam mobiliti sosial secara vertikal, tiada jalan lain melainkan pendekatan akademik," katanya semasa merasmikan penutupan program Libatsama Komuniti Berfokus (PeACE) 2016 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini,hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya.  

PeACE 2016 bertujuan membantu kerajaan melaksanakan transformasi komuniti luar bandar selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah Projek Transformasi Luar Bandar.

Program usahasama itu dijayakan dengan penglibatan 300 mahasiswa dari UTM, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara(UiTM) kampus Seri Iskandar dan Universiti Teknologi Petronas serta sebuah Kolej Komuniti di Perak.

Ahmad Zahid berkata bagi mencapai matlamat itu, sebuah politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara selain lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Bagan Datoh sedang dibina di Bagan Datoh.

Sementara itu, Wahid berkata PeACE 2016 terbahagi kepada dua fasadengan fasa pertama dimulakan dari 3 hingga 9 April denganberkonsepkan ukhwah, kesukarelaan dankhidmat sosial antara mahasiswa dan komuniti.

Fasa dua bermula dari 23 April hingga 30 Oktober yang melibatkan tiga Projek Berimpak Tinggi iaitu Pertanian Fertigasi, Teknologi Fibreglass dan Pembangunan Platform e-Niaga Berpusat.

"Ketiga-tiga projek ini dilaksanakan sebagai projek penyelidikan jangka pendek di bawah geran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

"Ia dijangka dapat membantu dalam membangunkan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Bagan Datoh selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat," katanya. -Bernama


Tiada ulasan: