Khamis, 7 April 2016

Apabila dihimpit skandal, MARA jadi sasaran politik perkauman Najib

SHEIKH_OMAR_ALI_SENAWANG_03072015_TMIKAMAL_ARIFFIN_09
Oleh Fatih Hassan Nordin

 
KUALA LUMPUR: MARA kini menjadi mangsa terbaru politik perkauman yang dimainkan Datuk Seri Najib Razak apabila beliau sebagai Perdana Menteri mendakwa “tanpa UMNO, MARA akan terkubur, dan MARA apabila terkubur, orang Melayu akan tersungkur”.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, dakwaan perkauman yang berunsur ugutan itu pernah diucapkan berkali-kali oleh pemimpin yang terlibat dengan pelbagai skandal terbabit, malah mengulangi skrip sama yang bertujuan meraih sokongan kaum Melayu.

“Seperti biasa, pemimpin UMNO tiada jalan lain kecuali kembali kepada politik ekstrem perkauman. 
Mereka berharap orang Melayu akan kabur dari melihat rasuah dan salahguna kuasa pemimpin apabila mereka membangkitkan isu menyelamatkan kaum kononnya.

“Namun, saya yakin rakyat termasuk orang Melayu bukan bodoh untuk diperdaya dan diugut oleh Najib,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri pada majlis Sambutan Perdana 50 Tahun MARA kelmarin yang menyentuh antara lain, kaitan di antara kedudukan orang Melayu, MARA dan UMNO sebagai satu bentuk pengukuhan kuasa.

Najib dilaporkan media sebagai berkata: “….. Kita mesti jaga UMNO. Tiada UMNO tiada MARA. Tiada MARA tiada jutaan orang Melayu dan Bumiputera. Jangan duduk sebaris dengan orang yang hendak mengkhianati UMNO, jangan bersekongkol dengan mereka.”

Pada 22 Ogos tahun lalu di sebuah majlis kelolaan UMNO, Najib turut dilaporkan media sebagai berkata: 
“Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau UMNO hilang kuasa. Terbangsat…tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan.”

Sheikh Omar berkata, adalah lebih baik jika Najib sebagai pemimpin negara menjelaskan kepada rakyat, terutamanya orang Melayu, tentang masalah dan skandal MARA yang mencemar imej Malaysia di luar negara.

“Najib sepatutnya memberikan penjelasan berkaitan isu pembelian hartanah di Australia oleh MARA melibatkan penyelewengan sekitar Jun dan Julai tahun lalu. Beliau tidak sepatutnya membuat ugutan ala mafia terhadap orang Melayu,” katanya.

MARA pernah terlibat dalam skandal pembelian hartanah di London dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran. Badan yang menjaga kepentingan Bumiputera itu juga terlibat dalam skandal pembelian bangunan di Australia yang menimbulkan keraguan kerana membabitkan syarikat luar pesisir.

Tahun lalu, sebuah akhbar Australia telah mendedahkan tentang skandal MARA yang membeli sebuah asrama Dudley House di Melbourne dua tahun sebelum itu dengan harga yang sangat mahal, iaitu AUD22.5 juta atau RM65 juta sedangkan harga pasaran cuma  AUD17.8 juta (RM51.6 juta). – Roketkini.com

Tiada ulasan: