Isnin, 11 April 2016

ANTARA SIRUL DAN SHAHROL

shahbudindotcom


Dalam kes pembunuhan Altantuya, nama yang paling disebut ramai sehingga kini ialah Sirul Azhar Omar. Walaupun beliau disabitkan bersama Azilah Hadri atas kesalahan membunuh wanita Mongolia itu, tindakannya melarikan diri ke Australia telah menyebabkan namanya lebih popular berbanding rakannya itu.

Dengan tujuan asal melarikan diri ke Austalia semata-mata untuk mengelak hukuman mati keatasnya, Sirul dengan tidak semena-mena telah menjadi rebutan antara kumpulan Najib dan mereka yang mahu menjatuhkannya bdrikutan tindakannya itu.

Dilindungi oleh kekangan undang-undang Australia yang menolak sebarang hukuman mati, pengakuan Sirul mengenai pembunuhan Altantuya dan siapa yang mengarahkannya amat dinanti-nantikan serta tidak dinafikan boleh membuka ruang kepada penyiasatan semula kes itu dan seterusnya menjadi ancaman kepada masa depan politik Najib.

Bagaimanapun, oleh kerana Sirul masih berteka-teki, di sebalik difahamkan sudah ramai yang menemui dan bercakap melalui telefon dengannya, kedudukannya terus menarik perhatian ramai, sekurang-kurangnya selagi Najib masih menjadi Perdana Menteri.
 
 
 
 
Dalam kes 1MDB yang baru saja PAC membentangkan laporannya di Parlimen, satu nama yang hampir sama sebutannya dengan Sirul iaitu Shahrol tiba-tiba menjadi bualan ramai.

Beliau yang nama penuhnya ialah Shahrol Azrai Ibrahim Halmi adalah bekas CEO 1MDB yang dicadangkan oleh PAC untuk disiasat dan dipertanggungjawabkan atas beberapa kelemahan dalam syarikat itu, terutama dalam beberapa keputusan yang membelakangkan Lembaga Pengarahnya.

Najib yang menubuhkan 1MDB, menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya, hadir menyaksikan pelbagai perjanjian perniagaan dan tandatangannya wajib diturunkan sebelum perniagaan dimuktamadkan, lalu ramai yang mempersoalkan wajarkah  hanya Shahrol dipersalahkan apabila syarikat itu bermasalah?

Di mata ramai juga seolah-olah Shahrul adalah satu-satunya "kambing hitam"  dalam kemelut 1MDB yang menjadikan nama Najib bukan saja bahan perbualan ramai dalam negara, tetapi juga di seluruh dunia.

Selain mengatakan tidak ada perkara salah yang dilakukannya ketika mengetuai 1MDB, keperluan tandatangan Najib sepertimana yang tertulis dalam Artikel 117 M & A syarikat pelaburan itu bukanlah juga suatu rahsia lagi.

Oleh, kebingungan ramai mengapa hanya Shahrol yang dipersalahkan tidak disangsikan memang ada asasnya.
 
 
 
 
Tetapi yang ditunggu berikutan cadangan PAC itu, jika Shahrol Azral disiasat nanti, apakah beliau akan berkata benar dan mendedahkan segala-galanya atau lebih rela menjadi korban untuk menyelamatkan pihak lain?

Penangkapan, penyiasatan dan seterusnya pendakwaan Shahrol Azral di mahkamah tentu saja boleh menjadi sesuatu yang memeningkan lagi kepala Najib, setelah kemelut 1MDB selama ini sudah cukup mencalar-balarkan namanya di mata umum sebagai anak Tun Razak yang disanjung ramai.

Untuk itu, mungkinkah, sama seperti dua pengarah SRC International, Suboh Md Yassin dan Nik Faisal Arif Kamil yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara, Shahrol Azral juga nanti tiba-tiba didapati tidak dapat dikesan lagi daripada negara ini?

Akhirnya, sudahlah sebutan nama hampir sama, apakah nasib Sirul dan Shahrol juga jadi tidak banyak berbeza dengan menjadikan perkelanaan ke luar negara sebagai pilihan kerana talian hayat Najib banyak terletak pada kedua-duanya?
 
 
 

Tiada ulasan: