Rabu, 20 April 2016

Ambiga dakwa polis sasar wartawan pula

Anne Muhammad  




Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa sekurang-kurangnya tujuh aktivis dan wartawan mungkin dipanggil polis.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai senarai berkenaan namun tidak pasti jika ia ada kaitan dengan petisyen dan Deklarasi Rakyat.

Beliau mendakwa wartawan berkenaan termasuk daripada Malaysiakini dan portal The Malaysian Insider yang menghentikan operasinya Mac lalu.

Ambiga berkata demikian ketika menemani aktivis Azrul Mohd Khalib memberi keterangan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan berhubung petisyen di laman web change.org.

“Saya dimaklumkan ada tujuh atau lapan senarai mereka yang akan dipanggil.

“Saya tak pasti sama ada ia ada kaitan dengan Deklarasi Rakyat dan seperti Azrul yang dipanggil hari ini, ia menunjukkan tiada kebebasan bersuara dan tidak sah mengikut undang-undang,” katanya kepada Malaysiakini di luar Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

Ambiga turut menyifatkan bahawa kerajaan seolah-olah terganggu dengan ‘Deklarasi Rakyat’.

“Saya lihat Deklarasi rakyat seperti menggangu mereka (kerajaan),” katanya sambil ketawa.

Sementara itu, Azrul yang membuat petisyen dalam talian untuk menyokong Deklarasi Rakyat dan pengunduran Najib mendakwa tindakan itu cubaan melumpuhkan media yang melaporkan berita tersebut.

“Yang akan dipanggil berkenaan petisyen termasuk Editor TMI, Malaysiakini, journalist dan bloggers.
“Ia menunjukkan mahu menjatuhkan orang yang menggesa supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan (dan) melumpuhkan media yang melaporkan berita berkenaan,” katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan senarai seperti didakwa dan berusaha menghubungi pihak polis bagi mendapatkan pengesahan.

Tiada ulasan: